[V] Sentuhan magis Jam Misteri Atuk, naskhah Avaris Studio bawa penonton merentas masa demi sebuah kerinduan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KERINDUAN terhadap insan yang telah tiada sering kali menjadi subjek yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Namun, bagi Avaris Studio, emosi tersebut diterjemahkan dengan indah menerusi filem pendek terbaharu mereka berjudul Jam Misteri Atuk.

Karya ini bukan sekadar drama biasa, sebaliknya ia menggabungkan elemen fantasi merentas masa dengan realiti kehidupan yang menyentuh sanubari.

Di bawah arahan pengarah berbakat, Ali Irman Bahrudden, filem ini membariskan pelakon hebat merentasi generasi seperti Azhar Amir, Aleza Shadan, Syafiq Dharma, Wafariena Roslan, serta pelakon cilik Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Membawa tema besar mengenai penghargaan terhadap masa, Jam Misteri Atuk memfokuskan kepada watak seorang cucu yang sukar menerima kenyataan atas kehilangan datuk tersayang.

Segalanya berubah apabila dia menemui sebuah jam tangan lama yang mempunyai kuasa misteri, membawanya kembali ke masa silam.

Menerusi perjalanan ‘ajaib’ itu, penonton dibawa menyelami nostalgia kehidupan kampung, termasuk tradisi penyediaan ketupat yang kian dilupakan oleh anak muda zaman sekarang.

Ia merupakan satu teguran halus tentang betapa berharganya momen-momen kecil bersama keluarga sebelum ia menjadi memori abadi.

Menurut Ali, skrip asal daripada Avaris Studio itu telah diberikan ‘nyawa’ tambahan berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri yang pernah melalui fasa kehilangan.

“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang dekat dengan hati masyarakat. Secara peribadi, saya menyuntik elemen emosi daripada pengalaman sendiri kehilangan orang tersayang ke dalam karya ini.

“Fokus utama saya adalah untuk menunjukkan bagaimana seseorang itu bergelut untuk menerima takdir, bangkit semula, dan meneruskan kelangsungan hidup walaupun parut kehilangan itu tetap ada,” katanya.

Bagi pelakon Syafiq Dharma, penglibatan dalam naskhah ini terasa sangat peribadi.

Dia mengakui watak yang dibawanya mempunyai persamaan yang ketara dengan situasi hidupnya selepas pemergian bapanya, pelakon veteran Allahyarham Dharma Harun Al Rashid pada November tahun lalu.

“Ada momen di mana air mata saya tumpah secara semula jadi ketika penggambaran.

“Saat itu, memori bersama arwah bapa menerjah kembali dan emosi itu benar-benar jujur dari hati.

“Filem ini adalah peringatan keras buat kita semua supaya sentiasa memuliakan dan menghargai ibu bapa selagi peluang itu masih ada di depan mata,” kongsi Syafiq dengan nada hiba.

Meskipun hanya mengambil masa dua hari penggambaran di Hulu Langat, Selangor, kru produksi berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu.

Hujan lebat selama hampir empat jam memaksa jadual dirombak, namun komitmen tinggi barisan pelakon dan kru memastikan kualiti produksi tetap berada pada tahap terbaik.

Jam Misteri Atuk telah mengadakan tayangan perdana eksklusif pada 13 Mac lalu di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall.

Bagi peminat drama berkualiti, anda kini boleh menonton filem pendek ini di saluran YouTube Avaris Studio MY atau nantikan tayangannya di Awesome TV.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This