MPPN sokong pindaan Akta Sewa Beli 2026, perkukuh hak pengguna

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 seperti yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Ahad lalu.

Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan langkah tersebut merupakan satu reformasi penting dalam memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.

Menurut Mohd Khair, MPPN berpandangan bahawa pindaan tsebut merupakan reformasi signifikan yang akan memberi manfaat kepada pengguna.

Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki.

Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron

“Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Khair berkata, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandangan digital dan tandatangan elektronik yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui proses pengesahan identiti peminjam.

Pada masa sama, katanya, MPPN juga berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta itu lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan adalah wajar dipertimbangkan.

Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman.

“MPPN mengambil maklum bahawa tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Khair berkata, MPPN mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berkaitan perkembangan konflik di Asia Barat yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Jelasnya, ketidaktentuan geopolitik ini berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

Ahad lalu, Armizan memaklumkan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa belia akan berkuat kuasa mulai 1 Jun depan, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ismael Saibari jadi wira, Maghribi kecewakan Belanda langkah ke pusingan 16

MAGHRIBI meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Belanda 3-2 dalam penentuan sepakan penalti,...

More Articles Like This