EMPAT individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth akan didakwa di mahkamah, hari ini atas kenyataan dan tindakan yang mencetuskan provokasi berkaitan agama serta perkauman.
Memetik laporan Bernama, Zamri akan didakwa di Mahkmah Majistret Kuala Lumpur berhubung perhimpunan yang dirancang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada 7 Februari lalu.
Semakan sistem mahkamah menunjukkan bahawa pertuduhan ke atas Zamri Vinoth akan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada pukul 9 pagi ini.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Zamri turut mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, tiga lagi individu yang didakwa berkaitan kes provokasi agama akan turut didakwa hari ini.
Aktivis, Tamim Dahri dilapor akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi; Arun Dorasamy dituduh di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang manakala Mahendra Boopathy di Mahkamah Majistret Seremban.
Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap penceramah bebas itu berhubung kenyataannya pada perhimpunan itu pada 7 Februari lepas telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC kemudian mengeluarkan arahan pertuduhan membabitkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan bahawa keempat-empat individu tersebut akan didakwa di mahkamah hari ini.
Arahan tuduh ke atas Zamri Vinoth adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Tamim Dahri yang juga seorang aktivis pula akan dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.
Mahendra pula akan dituduh atas kesalahan membuat hantaran berniat jahat ke arah Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad Shah di Rasah di Seremban yang ditohmah sebagai masjid haram.
Siasatan terhadap Arun Dorasamy pula berhubung kenyataan mengajak persatuan hindu agama Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth

