“Hilang separuh jiwa setiap kali Syawal…,” – Noki K-Clique tekad redah perjalanan jauh demi ‘hero’ di Sipitang

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DI sebalik susuk tubuh sasa dan imej kental yang dibawakan oleh anggota kumpulan K-Clique, Noki, tersimpan satu duka lara yang amat dalam setiap kali Syawal menjelma. 

Bagi pemilik nama sebenar Ahmad Ikhwan Aji, 32, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah mesin masa yang mengheretnya kembali kepada memori pahit pemergian bapa tercinta, empat tahun lalu.

Tahun ini, meskipun kesibukan kerjaya seni menuntut waktu, rutin pagi raya Noki tetap tidak berubah.

Dia nekad menempuh perjalanan jauh dari Kota Kinabalu ke Sipitang, Sabah, demi menziarahi pusara insan yang paling dirinduinya itu.

Mengenang kembali detik hitam itu, Noki mendedahkan satu rahsia yang selama ini menghimpit dadanya. 

Perkhabaran duka tersebut diterima ketika dia sedang berada di sebuah gimnasium. 

Malah, apa yang lebih memilukan, Noki sempat berseloroh melalui panggilan video tanpa menyedari bapanya sudah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Waktu itu saya sedang berada di gimnasium dan keluarga membuat panggilan video. 

“Saya sempat bergurau dan menyuruh bapa bangun daripada tidur, namun rupa-rupanya dia sudah tiada.

“Apabila abang mengesahkan berita itu, saya tergamam dan sempat marah kerana menyangka mereka sekadar mahu mengenakan saya. 

“Dunia saya terasa gelap seketika dan saya terduduk di lantai gimnasium sehingga orang sekeliling datang bertanya keadaan saya,” katanya kepada URTV ketika ditemui baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, akibat kekangan waktu penerbangan, Noki tidak berkesempatan untuk menguruskan jenazah mahupun menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir. 

Sebaik sahaja kakinya menjejak bumi Sipitang, urusan pengebumian telah pun selesai, meninggalkan Noki dengan sebuah penyesalan yang sukar dipadamkan.

Selain kehilangan bapa, Noki turut mendedahkan satu sisi peribadi mengenai kesihatan keluarganya. 

Menurut penyanyi rap ini, bapanya meninggal dunia akibat penyakit saraf keturunan yang menyebabkan otot badan mengecut sehingga membawa kepada lumpuh separuh badan.

Penyakit misteri yang menyerang sejak bapanya berusia 30-an itu kini menjadi kerisauan dalam diri Noki, memandangkan ia merupakan penyakit keturunan yang boleh menyerang bila-bila masa.

“Ayah menderita penyakit yang memakan otot badan, menyebabkan tangan dan kakinya semakin mengecil sehingga dia memerlukan bantuan sepenuhnya untuk bergerak. 

“Walaupun kami sudah ikhtiar pelbagai cara, memang tiada ubat untuk penyakit ini. 

“Ia adalah penyakit keturunan sebelah ayah dan jujurnya saya bimbang jika ia menyerang saya atau adik-beradik yang lain,” dedah Noki lagi.

Meskipun bapanya seorang yang pendiam dan lembut dalam mendidik, pengaruhnya dalam hidup Noki sangat besar. 

Noki menyifatkan tempoh masa ketika dia menjaga bapanya yang sedang sakit adalah momen paling berharga yang pernah dilalui.

“Cara arwah memberi teguran sangat lembut, berbeza dengan emak yang lebih tegas. 

“Momen menjaga arwah itulah yang paling saya rindu sehingga sekarang. 

“Kehilangannya benar-benar membuatkan saya rasa seperti hilang separuh jiwa. 

“Sehingga kini, saya belum melakukan pemeriksaan kesihatan secara terperinci, tetapi saya tidak putus-putus berdoa agar penyakit itu tidak diwarisi oleh kami semua,” ujarnya. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This