BEKALAN ubat-ubatan di dalam negara masih lagi stabil dan terkawal susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, paras stok ubat fasiliti disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan kepada keperluan penggunaan.
“Secara keseluruhannya, pemantauan bekalan ubat dalam negara juga dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada.
“Ia termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM menambah, pihak industri farmaseutikal tempatan memaklumkan bahawa pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.
Katanya, pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing.
“KKM akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Asia Barat,” katanya lagi.
Pada masa sama, KKM turut menyatakan komitmen dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani kesan konflik di Asia Barat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

