JAWATANKUASA Tertinggi Pusat (CEC) DAP menyokong tindakan tegas dan keras oleh kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah serta alkohol yang menyebabkan kematian tanpa pilih kasih.
Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, ia bagi memberi satu mesej yang kuat kepada semua pemandu untuk sentiasa bertanggungjawab demi keselamatan bersama di jalan raya.
Pada masa sama, katanya, CEC DAP menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus krisis global secara tuntas demi kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat serta memastikan sumber negara diurus dengan berhemah.
“CEC DAP telah mengadakan mesyuarat bulanan pada malam tadi (6 April 2026) dan diberi taklimat berkenaan perkembangan terkini kesan konflik di Asia Barat.
“Mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyat DAP untuk membuat penerangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi berkenaan keseriusan krisis tenaga global yang sedang melanda kita.
“Serta keperluan untuk semua pihak mengambil langkah menjimatkan pengunaan tenaga dan kenderaan secara berhemah untuk mengurangkan permintaan terhadap minyak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, mesyuarat menyeru kerajaan meneruskan dasar untuk memastikan semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang mendapat 10A ke atas diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi.
Katanya, selain memastikan pelajar cemerlang yang lain turut diberi pertimbangan yang sewajarnya mengiikut kapasiti sedia ada.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

