Hukuman wajib bayar pampasan kepada keluarga mangsa menanti pemandu mabuk, positif dadah

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN sedang meneliti pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kesalahan jalan raya serius membayar pampasan kepada mangsa atau waris yang sah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu antara usaha memperkukuh pembelaan terhadap mangsa kemalangan jalan raya, termasuk kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius kesalahan pemanduan mabuk dan di bawah pengaruh dadah serta komited memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Keputusan untuk mendakwa seseorang di bawah Akta 333 atau peruntukan lain dalam Kanun Keseksaan bergantung kepada penilaian Pendakwa Raya berdasarkan fakta dan merit sesuatu kes.

“Kuasa menentukan pertuduhan yang sesuai terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara selaku Pendakwa Raya seperti diperuntukkan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.

Perkukuh hak mangsa, waris

Mengulas lanjut, Loke berkata, cadangan pindaan itu bukan bertujuan menggantikan tindakan sivil atau tuntutan insurans yang boleh dibuat oleh mangsa dan waris.

Sebaliknya, kata beliau, ia bertujuan mewujudkan kuasa khusus di bawah Akta 333 yang membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah membayar pampasan dalam prosiding jenayah jalan raya.

“Kerangka keselamatan jalan raya perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada hukuman terhadap pesalah, tetapi juga menyediakan mekanisme pembelaan yang lebih jelas kepada mangsa dan waris,” katanya.

KEJARA jadi mekanisme pencegahan

Pada masa sama, beliau berkata, usaha melindungi mangsa perlu disokong dengan mekanisme pencegahan yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

Menurut Loje, Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) kekal menjadi instrumen penting untuk mengawal tingkah laku pemandu serta mengenal pasti individu berisiko tinggi.

Jelas beliau, sistem itu juga berperanan mendisiplinkan pesalah berulang sebelum kesalahan yang dilakukan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, kementerian akan terus mengkaji dan menambah baik kerangka perundangan keselamatan jalan raya bagi memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan keseriusan kesalahan.

Katanya, pindaan yang sedang diteliti itu akan mengekalkan pendekatan tegas terhadap pesalah jalan raya, di samping memperkenalkan perlindungan lebih jelas kepada mangsa dan waris.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ribut rosakkan beberapa rumah di Taman Mewah, Shafwan ambil inisiatif segera hulur bantuan

BEBERAPA rumah di Jalan Selendang 13, Taman Mewah, Bukit Permai, mengalami kerosakan selepas kawasan itu dilanda ribut. Calon Pakatan Harapan...

More Articles Like This