Lelaki maut terbaring tengah jalan ditetak akibat pergaduhan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam susulan satu insiden pergaduhan di kawasan Buntong, Ipoh, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah memaklumkan, pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai satu pergaduhan kira-kira pukul 11.10 malam.

Menurut beliau, serentak itu, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Muhammad Najib berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah ditemui terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang berusia 25 tahun tidak bekerja dan sering membantu di sebuah premis sewa kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertindak menyerang menggunakan parang.

“Dalam kejadian tersebut, beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Najib berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis kereta sewa berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan serta menangkap suspek lain masih giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Saya akan pilih orang yang boleh bantu rakyat Malaysia, kata Michael Ang

PENERBIT dan pengarah terkenal, Michael Ang menegaskan beliau akan memilih individu yang mampu membantu rakyat Malaysia. Penegasan itu dinyatakan Michael menerusi...

More Articles Like This