Kementerian Perpaduan gerak semula usaha gubal RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menggerakkan semula usaha ke arah menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang baharu itu akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian.

Katanya, pendekatan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional tidak hanya bersifat menghukum semata-mata, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian secara harmoni dan konstruktif.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, JPNIN telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak bermula awal bulan ini dan akan diteruskan secara inklusif dengan pelbagai pihak.

“Kementerian akan meneliti agar suruhanjaya ini berupaya menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan serta mengeluarkan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan dan agensi berkaitan.

“Selain itu, suruhanjaya ini juga dijangka berperanan mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam tertakluk kepada had tertentu demi kepentingan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Perpaduan sambut baik Lam Thye

Mengulas lanjut, Aaron memaklumkan, pihaknya menyambut baik cadangan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berhubung penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional sebagai sebuah badan berkanun bebas bagi melindungi serta memperkukuh keharmonian antara atnik dan agama di negara ini.

Menurut beliau, cadangan SKRN itu telah pun disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada tahun 2015.

Selain cadangan SKRN, Aaron berkata, MKPN turut menyediakan dua lagi draf RUU iaitu RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama serta RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Beliau menjelaskan, RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama serta RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional telah ditolak pada tahun 2019.

“Cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional pula telah dipersetujui pada dasarnya pada tahun 2019, namun pelaksanaannya tertangguh berikutan isu pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Seterusnya, pada April 2020, kerajaan telah memutuskan bahawa cadangan tersebut tidak diteruskan,” katanya.

Semalam, Lam Thye dilapor berkata, Malaysia memerlukan satu pendekatan yang lebih tersusun untuk memelihara perpaduan melalui pengenalan Akta Keharmonian Nasional.

Jelasnya, undang-undang itu adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh integrasi nasional serta memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Beliau berkata, seiring dengan pengenalan akta itu, adalah penting untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi memastikan pelaksanaan akta ini berjalan dengan berkesan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This