Malaysia kutuk keras tindakan biadab menteri Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab seorang menteri daripada rejim zionis Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, kelmarin.

Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, tindakan provokasi yang dilakukan semasa Masjid Al-Aqsa ditutup kepada umat Islam merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.

Pada masa sama, kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra itu menegaskan, tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir itu melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kesucian tapak ketiga paling suci dalam Islam.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini mengancam keamanan dan kestabilan serantau serta menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menegaskan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wisma Putra turut menyeru komuniti antarabangsa supaya mengutuk tindakan Israel dengan tegas dan menuntut agar rejim tersebut segera menghentikan semua tindakan agresif.

Selain itu, komuniti antarabangsa turut digesa menuntut Israel menghormati kesucian tapak suci dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Katanya, langkah-langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah sebarang pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua jemaah.

“Malaysia menegaskan solidariti padu dengan rakyat Palestin serta komitmen untuk memelihara warisan agama, budaya dan kebangsaan mereka.

“Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Kelmarin, Ben Gvir dilapor telah menceroboh kawasan Masjid Al-Aqsa dengan beberapa negara Arab mengecam tindakan yang disifatkan sebagai provokasi serius terhadap umat Islam.

Menurut Direktorat Wakaf Islam di Baitulmaqdis, Ben Gvir telah memasuki kawasan masjid melalui pintu Maghribi sebelum meninjau pekarangan kompleks tersebut.

Menteri Israel itu telah menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat pada hari ke-38 rejim tersebut menutup masjid suci berkenaan kepada umat Islam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham...

More Articles Like This