Lebih 50 CSO bantah larangan media sosial bawah 16 tahun, gesa kerajaan tarik balik cadangan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

LEBIH 50 organisasi masyarakat sivil (CSO) tempatan bersama rangkaian serantau dan antarabangsa menggesa kerajaan menarik balik cadangan melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai tidak seimbang serta berisiko menjejaskan hak asasi pengguna.

Kumpulan itu dalam kenyataan bersama menegaskan, walaupun usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian adalah wajar, pendekatan larangan menyeluruh bukan penyelesaian berkesan dan boleh membawa implikasi lebih besar.

“Cadangan larangan menyeluruh ini adalah tersasar dan tidak seimbang, selain berisiko menjejaskan hak privasi serta kebebasan bersuara semua pengguna, termasuk orang dewasa,” menurut kenyataan itu.

Tidak selesaikan punca sebenar

Menurut kenyataan itu, larangan tersebut gagal menangani punca utama risiko dalam talian seperti reka bentuk platform, model perniagaan eksploitatif serta amalan pengumpulan data yang invasif.

Sebaliknya, mereka mencadangkan pendekatan berasaskan bukti dan hak asasi, termasuk memperkukuh peraturan terhadap syarikat teknologi.

“Kanak-kanak tidak perlu dikecualikan daripada ruang digital, sebaliknya mereka perlu dilindungi dalam ruang itu dengan kemahiran serta perlindungan yang sesuai,” katanya.

Bimbang pintas Parlimen

Kenyataan itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan larangan melalui Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Menurut mereka, tindakan itu berpotensi memintas penelitian Parlimen dan menimbulkan isu lebihan kuasa eksekutif.

“Sebarang langkah yang mengehadkan hak asasi perlu melalui proses perundangan penuh dan perbahasan demokratik,” katanya.

Selain itu, tempoh konsultasi awam oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission dari Februari hingga Mac lalu disifatkan tidak mencukupi dan tidak inklusif.

Hak kanak-kanak terjejas

Kumpulan itu turut menegaskan larangan berkenaan boleh menjejaskan hak kanak-kanak seperti akses kepada maklumat, pendidikan, komunikasi dan penyertaan dalam masyarakat.

Ia juga dikatakan berisiko mendorong golongan bawah umur beralih ke platform tidak terkawal, termasuk ruang digital berbahaya.

Selain itu, keperluan pengesahan umur melalui sistem e-KYC menggunakan dokumen seperti MyKad dan pasport dilihat boleh meningkatkan risiko pencerobohan data serta pengawasan berskala besar.

Teguran badan antarabangsa

Dalam masa sama, United Nations Committee on the Rights of the Child dalam pemerhatian terkininya pada Februari 2026 turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan literasi digital dan jurang akses dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Badan itu juga menegaskan larangan berasaskan umur boleh mengehadkan akses kepada maklumat sesuai serta menjejaskan perlindungan privasi.

Cadang pendekatan menyeluruh

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengemukakan beberapa cadangan termasuk menarik balik larangan menyeluruh dan memastikan reformasi melalui proses Parlimen; memperkenalkan peraturan platform digital yang lebih kukuh selaras piawaian hak asasi; melaksanakan penilaian impak hak kanak-kanak terhadap perkhidmatan digital dn engambil pendekatan seluruh masyarakat melibatkan ibu bapa, pendidik dan organisasi berkaitan

Selain itu, mereka menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi digital, sokongan kesihatan mental dan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan.

Seru reformasi berasaskan hak

Kumpulan berkenaan menegaskan Malaysia berada di persimpangan penting dalam merangka dasar keselamatan dalam talian.

“Kerajaan perlu menolak pendekatan simplistik dan menghukum, sebaliknya melaksanakan reformasi berasaskan hak dan bukti bagi menangani punca sebenar risiko dalam talian,” katanya.

Surat terbuka itu disokong pelbagai organisasi termasuk Centre for Independent Journalism, Sinar Project dan Women’s Aid Organisation, selain rangkaian antarabangsa seperti CIVICUS dan FORUM-ASIA.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This