IBU Pejabat Laut Malaysia serta semua Pejabat Laut Wilayah di seluruh negara telah mengalami gangguan sementara perkhidmatan internet bermula sekitar jam 2 pagi tadi.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam kenyataan memaklumkan, gangguan itu dikenal pasti berpunca daripada insiden kerosakan kabel gentian optik (fibre cut) di kawasan Pelabuhan Klang.
Jelas JLM, sejurus kejadian dikesan, pihak Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik (UTMKE), Ibu Pejabat Laut Malaysia telah mengambil tindakan segera dengan melaporkan insiden ini kepada pihak Telekom Malaysia (TM).
“Pasukan teknikal TM kini berada di lokasi dan sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta pemulihan rangkaian dengan kadar segera.
“Dimaklumkan bahawa gangguan ini turut melibatkan talian 1Network di JLM seluruh Malaysia.
“Sehubungan itu, beberapa perkhidmatan digital termasuk “Ship Clearance System” (SCS) dan “Malaysia Marine Department Information System” (MMDIS) turut mengalami gangguan sementara,” jelas JLM.
JLM menambah, sebagai langkah mitigasi, semua pegawai dan pengguna berkaitan disarankan untuk menggunakan kaedah manual bagi memastikan kesinambungan operasi perkhidmatan.
Menurut JLM, berdasarkan makluman awal daripada pihak TM, kerja-kerja pembaikan dijangka selesai sepenuhnya sekitar jam 4.30 petang hari ini, tertakluk kepada keadaan semasa di lokasi.
JLM menegaskan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh tidak terjejas dan akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

