Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengorak langkah proaktif dalam merapatkan jurang pendidikan nasional dengan merancang penambahan lima hingga tujuh buah Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di seluruh negara bermula tahun hadapan.
Langkah strategik ini bertujuan untuk memastikan murid di kawasan pedalaman dan luar bandar mendapat akses pendidikan yang lebih adil, sekaligus membasmi isu keciciran yang sering berlaku ketika transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan bahawa model K11 merupakan solusi terbaik bagi mengatasi kekangan logistik yang menjadi beban utama buat keluarga di ceruk pedalaman.

Melalui model ini, murid tidak lagi perlu berpindah sekolah selepas tamat Tahun Enam, sebaliknya boleh meneruskan pengajian di institusi yang sama sehingga ke Tingkatan Lima.
Menurut beliau, situasi murid di bandar jauh berbeza dengan mereka yang tinggal di kawasan terpencil di mana faktor jarak sering menjadi pemutus semangat untuk terus belajar.
“Di kawasan luar bandar, ada murid yang terpaksa mengambil masa antara satu jam hingga satu jam setengah untuk hadir ke sekolah setiap hari.Â
“Sebab itu model seperti K11 sangat penting bagi memastikan kesinambungan pendidikan mereka terjamin tanpa perlu memikirkan proses perpindahan sekolah yang rumit,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai mekanisme pelaksanaan, Kah Woh memaklumkan bahawa inisiatif ini tidak melibatkan pembinaan bangunan baharu yang menelan belanja besar.
Sebaliknya, KPM akan mengoptimumkan sekolah sedia ada dengan menaik taraf fungsi dan kemudahan di institusi tersebut.
Strategi ini membolehkan kedua-dua aliran, iaitu rendah dan menengah, beroperasi di bawah satu pentadbiran yang sama, sekali gus memberikan kestabilan emosi dan sosial kepada murid, khususnya komuniti Orang Asli.
“Sekolah yang sedia ada sama ada di peringkat rendah atau menengah akan diperluas supaya kedua-dua aliran boleh ditempatkan di bawah satu institusi yang sama.Â
“Pada 2023, kita telah memperluas model K9 kepada K11 supaya anak-anak ini dapat kekal belajar di sekolah yang sama sehingga mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya lagi.
Setakat ini, negara mempunyai 26 buah sekolah K9 dan sembilan buah sekolah K11.
Pemilihan lokasi tambahan bagi tahun hadapan akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berdasarkan analisis keperluan mendesak di kawasan masing-masing.
Kenyataan tersebut dibuat selepas beliau menghadiri majlis penyerahan inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Sungai Kemahal, Bera.
Program tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa.
Dalam majlis berkenaan, Kah Woh turut memuji penglibatan sektor korporat seperti Genting Malaysia Berhad yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada SK Sungai Kemahal dan RM118,000 kepada SMK Sungai Sertik untuk tujuan pembangunan prasarana.
“Sumbangan ini telah digunakan untuk membina gelanggang sofbal, menaik taraf makmal komputer, serta membaik pulih infrastruktur sekolah.Â
“Kerjasama erat antara kerajaan dan pihak swasta seperti ini amat kritikal dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif bagi anak-anak kita,” jelas beliau.
Dengan perluasan model K11 dan sokongan melalui program Sekolah Angkat MADANI, KPM optimis kadar keciciran pendidikan di kawasan luar bandar dapat dikurangkan secara drastik, selaras dengan agenda memartabatkan pendidikan untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

