PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencari penyelesaian bagi menangani isu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Sabah.
Katanya, melihat pelajar belajar di bawah khemah serta di kaki lima masjid begitu mengesankan dan tindakan segera wajib dilaksanakan.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut memuat naik laporan berkaitan sekolah berkenaan yang disiarkan The Borneo Post, selepas berlaku kerosakan pada sebahagian infrastruktur yang dikaitkan pergerakan tanah dan cerun.
Dalam laporan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menggesa KPM segera menangani nasib pelajar di sekolah berkenaan yang dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di ruang sementara yang tidak sesuai.
“Kanak-kanak ketika ini terpaksa belajar di lokasi sementara di masjid, ada yang di laluan, terdedah kepada hujan ketika cuaca basah dan berada di bawah khemah dalam keadaan panas ketika ini.
“Keadaan ini amat menyentuh hati apabila melihat anak-anak kita terpaksa belajar dalam situasi sedemikian,” katanya seperti dilaporkan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

