KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) meminta semua sekolah menangguhkan penganjuran aktiviti luar jika suhu melebihi 35 darjah Celsius bagi memastikan kesihatan murid tidak terjejas.
Menurut KPM, institusi pendidikan juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.
“Selain itu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Kita mahu semua institusi pendidikan meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal 1,” jelas KPM dalam kenyataan.
KPM turut meminta institusi pendidikan menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
Selain itu jelasnya, membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
“Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM perlu peka situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
KPM memberitahu, pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
“KPM mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.

