PELAKON dan pengacara, Fikry Ibrahim, tampil menyelar spekulasi liar yang mendakwa rumah tangganya sedang dilanda badai hanya disebabkan ketiadaan perkongsian gambar bersama isteri di media sosial pada Aidilfitri lalu.
Fikry, atau nama lengkapnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, menegaskan tindakan tidak memuat naik foto keluarga bukanlah satu kayu ukur bagi menentukan kebahagiaan atau kestabilan sesebuah perkahwinan.
Bagi pelakon asal Kedah ini, dakwaan yang mengatakan hubungan mereka masih berantakan adalah satu kesimpulan cetek yang berpunca daripada andaian netizen semata-mata.
Dia turut memberikan analogi mengenai perkongsian gambarnya bersama ibu tercinta bagi menjelaskan pendiriannya.
“Dakwaan kononnya rumah tangga kami masih berantakan itu adalah salah dan sekadar spekulasi.
“Saya percaya sumbernya berpunca daripada tindakan saya yang tidak berkongsi gambar.
“Jika anda buat sedikit kajian, boleh lihat bila kali terakhir saya memuat naik gambar bersama ibu saya.
“Adakah itu menunjukkan saya bergaduh dengan ibu? Tidak juga,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada Malam Gala filem Libang Libu di Mid Valley, semalam.
Menurut Fikry, keputusan untuk tidak menonjolkan isteri di khalayak digital adalah persetujuan bersama bagi menghormati ruang peribadi masing-masing.
Malah, dia menjelaskan masih terdapat beberapa keping foto mereka bersama yang dikekalkan di akaun Instagram miliknya sebagai bukti hubungan mereka baik-baik sahaja.
Menjawab persoalan mengenai sambutan Aidilfitri yang disambut secara berasingan, Fikry menjelaskan situasi tersebut berlaku disebabkan tanggungjawab serta komitmen terhadap keluarga kedua-dua belah pihak.
Tahun ini merupakan giliran isterinya untuk pulang ke Sarawak, manakala Fikry perlu kekal di semenanjung atas faktor kesihatan ahli keluarga.
“Isteri saya beraya di Sarawak kerana tahun ini adalah gilirannya di sana.
“Saya pula perlu menjaga ibu, tambahan pula bapa saudara saya kurang sihat akibat serangan strok.
“Jadi, saya mengizinkan dia pulang ke kampung halamannya. Namun, itu tidak bermakna kami renggang.
“Sebelum raya lagi kami sudah meluangkan masa bersama, malah sempat membeli baju raya sekali,” jelasnya.
Fikry menegaskan dia tidak akan sesekali mengubah prinsipnya dalam menjaga privasi keluarga demi memuaskan hati pihak luar.
Baginya, pendedahan melampau mengenai hal peribadi hanya akan mengundang ketidakselesaan kepada ahli keluarga yang lain yang tidak terbiasa dengan perhatian media.
“Saya akan kekalkan prinsip yang sama kerana saya tidak suka perkara peribadi diuar-uarkan.
“Sejak sebelum berkahwin lagi, saya memang jarang berkongsi mengenai adik-beradik atau arwah bapa.
“Walaupun kita cuba mengekalkan privasi, masih ada ahli keluarga yang kurang selesa apabila menjadi perhatian orang atau dicari-cari oleh pihak tertentu,” tambahnya lagi.
Meskipun isterinya pada awalnya agak terkejut dengan gangguan spekulasi sedemikian, Fikry bersyukur kerana dikurniakan keluarga dan mentua yang matang serta memahami selok-belok dunia seni.
Komunikasi yang telus antaranya dan keluarga menjadi benteng utama dalam menghadapi sebarang tekanan luaran.
“Awal-awal dulu mungkin isteri ada sedikit terkejut, tetapi saya pesan tidak perlu layan perkara yang tidak masuk akal.
“Komunikasi kami sangat baik. Sebelum apa-apa berita tersebar, saya akan maklumkan kepada keluarga terlebih dahulu supaya mereka tidak terkejut dengan apa yang berlaku di media sosial,” katanya.
Dalam perkembangan seni, Fikry bakal muncul dengan naskhah terbaharu berjudul Libang Libu arahan Bobby Husaini.
Menariknya, dia menggalas cabaran membawakan watak seorang pemuda Bangladesh dalam filem tersebut yang dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam bermula 23 April ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

