POLIS menjalankan siasatan dan sedang mengesan individu yang dipercayai telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta di Elmina Park, Shah Alam.
Kejadian tersebut turut tular di laman media sosial Threads sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan kira-kira pukul 6 petang, Khamis lalu.
Menurut beliau, pengadu merupakan seorang wanita berusia awal 40-an memberitahu telah meletakkan kenderaan di tepi jalan Persiaran Metafasa Seksyen U16, Shah Alam.
“Mangsa telah pergi ke Elmina Park untuk bersenam.
“Bagaimanapun, sebaik kembali ke kereta kira-kira pukul 6.40 petang, mangsa mendapati cermin hadapan penumpang keretanya telah dipecahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun begitu, Ramsay berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta mendapati tiada barang milik pengadu telah hilang.
Kata beliau, pihaknya telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerugian.
“Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Minazuddin Mohd Noor di talian 013-2236697,” katanya.
Terdahulu, tular di laman media sosial Threads apabila seorang pengguna memuat naik gambar cermin keretanya telah dipecahkan.
Pengguna tersebut mendakwa meletakkan kenderaannya di laluan kereta.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

