PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam hantaran di Facebook, hari ini, Perdana Menteri mendoakan Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan baginda berdua serta seluruh kerabat diraja berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Merafak Sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.
“Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Dirgahayu Tuanku!,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

