YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan supaya Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar sehingga ada keputusan jelas.
Perkara itu dimaklumkan Aminuddin menerusi sidang media susulan konflik politik di Negeri Sembilan, hari ini.
Jelas Aminuddin, beliau menjelaskan sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokongnya kepada Tuanu Muhriz.
“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan (negeri) sedia ada sehingga ada keputusan jelas.
“Saya akan teruskan tugasan (sebagai Menteri Besar). Pentadbiran negeri akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti,” katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau melihat tidak ada keperluan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan buat masa ini.
Beliau yang terkejut dengan tindakan ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya hari ini, menjelaskan tiada pandangan dilontarkan mana-mana pihak yang menyatakan keperluan ke arah pembubaran DUN.
“Buat masa ini belum ada pandangan seperti itu (mencadangkan pembubaran DUN),” katanya.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytiharkan penurunan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Susulan itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.
Berikutan krisis tersebut, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

