DALAM landskap perniagaan yang dipacu teknologi dan tuntutan kelestarian masa kini, pandangan praktikal berasaskan pengalaman sebenar menjadi keperluan yang semakin kritikal.
Menyedari perubahan ini, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) menganjurkan EcoWorld Connects: Leadership Exchange Masterclass di Eco Ardence, Setia Alam, pada 25 April lalu.
Program sehari ini menghimpunkan usahawan dan pemimpin perniagaan dari pelbagai industri bagi berkongsi pandangan, membina jaringan strategik serta meneroka peluang perniagaan baharu.
Ia mencerminkan visi EcoWorld dalam membangunkan komuniti bersepadu yang menggabungkan perniagaan, gaya hidup dan kehidupan bermasyarakat melalui ekosistem yang lebih menyeluruh.

Bina ruang lebih progresif
Pengurus Besar Eco Ardence, Tiong Siow Yin memberitahu, EcoWorld Connects mencerminkan aspirasi mereka untuk membina lebih daripada sekadar ruang fizikal. Ia juga membentuk persekitaran yang menyatukan idea, komuniti dan peluang.
“Seiring perubahan landskap perniagaan, jelas wujud peralihan ke arah persekitaran berasaskan komuniti yang lebih kolaboratif.
“Melalui inisiatif ini serta pembangunan seperti Maya Corporate Office Suites di Eco Ardence, kami komited menyokong pertumbuhan perniagaan menerusi komuniti yang lebih progresif,” ujarnya.
Manfaatkan teknologi
Dengan menampilkan penceramah daripada pelbagai industri, program ini memfokuskan usaha mentransformasi operasi harian kepada strategi pertumbuhan yang lebih sistematik dan Lestari.
Menurut Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Aimazin AI Digital Human Technology, Shin Kong, batasan yang sering dihadapi oleh organisasi yang terlalu bergantung kepada peranan pengasas dalam memacu perniagaan.

“Ramai usahawan sukar berkembang kerana pertumbuhan syarikat masih terikat dengan masa dan kapasiti peribadi pengasas.
“Melalui integrasi AI dan sistem automasi, perniagaan mampu meluaskan capaian, menyelaraskan komunikasi serta membina model operasi yang lebih berskala dan efisien,” jelasnya.
Tambah beliau, penggunaan AI avatar dan sistem digital membolehkan perniagaan membina kehadiran jenama yang lebih konsisten, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan membuka ruang kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih luas.
Cabaran kekal relevansi
Dalam persekitaran digital yang semakin kompetitif, cabaran utama perniagaan adalah mengekalkan relevansi dan kepercayaan pengguna.
Pengasas Cake Tella & Keto Cake, Eddie Tan, berkata, penjenamaan yang strategik adalah komponen kritikal yang melengkapkan kualiti produk demi kejayaan sesebuah perniagaan.
“Kualiti produk hanyalah asas permulaan. Kekuatan sesebuah jenama terletak pada kedudukan yang jelas dan penceritaan yang konsisten. Konsistensi inilah yang akan memupuk kepercayaan yang seterusnya menjadi tunjang kepada pertumbuhan jangka panjang,” ujarnya.
Perbincangan ini turut menyentuh aspek pengurusan kewangan dengan menekankan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan tidak menjamin kekayaan peribadi yang terancang tanpa pengurusan yang betul.
Pencipta Kandungan & Pendidik Kewangan, Bob Ngoh pula turut menekankan bahawa disiplin merupakan teras utama dalam pengurusan kewangan. Beliau mengingatkan bahawa pendapatan tinggi bukanlah jaminan kekayaan yang kukuh.
Ujarnya, tanpa struktur yang jelas, usahawan berisiko terlepas peluang untuk berkembang serta melindungi aset mereka. Sebaliknya, pendekatan yang berdisiplin akan memacu keputusan yang lebih tepat, sekali gus mengukuhkan ketahanan dan kestabilan kewangan jangka panjang.
Kekalkan identiti
Bagi perniagaan tradisional, cabaran utama adalah mengimbangi keperluan inovasi dengan pengekalan identiti asal jenama yang menjadi teras utama usahawan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif S W Aroma & Foo Kwai Heong, Vanessa Chong, transformasi perlu dilaksanakan secara seimbang.

Jelasnya, perubahan merupakan keperluan perniagaan untuk terus berkembang, namun ia tidak seharusnya menjejaskan identiti perniagaan. Kuncinya terletak pada pemodenan sistem dan penjenamaan tanpa meminggirkan nilai teras yang menjadi tunjang kekuatan organisasi.
Inisiatif EcoWorld Connects ini berjaya memperkukuh mesej bahawa kelestarian perniagaan bergantung kepada integrasi sistem yang mantap, perancangan strategik, ketegasan disiplin serta fleksibiliti dalam mendepani transformasi pasaran.
Menerusi EcoWorld Connects, EcoWorld membuktikan peranannya melangkaui sekadar pemaju hartanah, dengan bertindak sebagai penggerak ekosistem yang menyatukan modal insan, idea inovatif, dan peluang strategik demi pertumbuhan jangka panjang.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

