Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kekuatan visibiliti jenama kini dilihat sebagai antara faktor utama yang bakal menentukan kelangsungan sesebuah perniagaan dalam era ekonomi digital yang semakin kompetitif.
Sehubungan itu, Program Seven Mega Growth Strategies 2026 dianjurkan sebagai platform strategik bagi membantu usahawan tempatan memperluaskan jaringan perniagaan, memperkukuh penjenamaan serta meningkatkan daya saing syarikat di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KNK Group, Prof (Adjung) Adam Richman, Kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital bakal menjadi faktor utama yang menentukan kelangsungan perniagaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dan bukan ancaman kepada usahawan.
“Penggunaan AI khususnya dalam penghasilan kandungan pemasaran perlu dilaksanakan secara telus, beretika dan bertanggungjawab agar teknologi itu dapat dimanfaatkan secara optimum untuk pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Jelasnya lagi, usahawan perlu memahami bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada peranan kerajaan.
Sebaliknya, ia turut dipacu oleh golongan usahawan yang membawa pembaharuan melalui teknologi, idea kreatif serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada pengguna.
Dalam masa sama, beliau menegaskan aspek kebolehlihatan atau visibiliti jenama kini menjadi elemen penting dalam strategi perniagaan moden memandangkan persaingan industri tidak lagi terhad kepada syarikat tempatan, malah turut melibatkan pemain antarabangsa dan konglomerat global.

Usahawan tempatan perlu ada keunikan tersendiri
Sementara itu, Pengerusi KNKV Group, Zurainah berkata usahawan tempatan perlu membina keunikan tersendiri dan memperkukuh jaringan kerjasama bagi menarik perhatian pelabur besar serta konglomerat antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa budaya kolaborasi dan networking kini menjadi elemen penting dalam memperluaskan pengaruh perniagaan.
“Seven Mega Growth Strategies 2026 berperanan sebagai platform penting dalam membantu syarikat tempatan membina rangkaian serta hubungan strategik yang lebih kukuh,” tambahnya.
Program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh disertai seramai 200 peserta membabitkan pemain industri, usahawan, tokoh korporat serta wakil diplomatik.

Program berkenaan bertujuan membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.
Seven Mega Growth Strategies 2026 turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiasiagaan undang-undang dalam perniagaan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah wakil firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Wan Azmir Wan Majid.

