KEMENTERIAN Kewangan memaklumkan harga RON95 tanpa subsidi naik 10 sen seliter manakala harga RON97 naik 5 sen seliter bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei ini.
Menurut kementerian, harga diesel dan harga bahan api bersubsidi pula kekal tanpa sebarang perubahan dalam tempoh tersebut.
Kementerian Kewangan menjelaskan, kenaikan harga bagi RON95 tanpa subsidi dan RON97 adalah rentetan risiko konflik Asia Barat yang kekal tinggi selain hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka.
Jelas kementerian, ia adalah selaras dengan pergerakan harga pasaran antarabangsa.
“Harga RON95 tanpa subsidi naik 10 sen seliter iaitu dari RM3.87 kepada RM3.97 seliter manakala RON97 pula dari RM4.85 seliter kepada RM4.90 seliter.
“Harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu oleh kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global, apabila kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan,” jelas kementerian.
Kementerian Kewangan menambah, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga.
Jelas kementerian, kerajaan juga akan memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

