POLIS memburu individu yang melakukan pembakaran mercun sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan parkir awam Setia Alam Community Trail, baru-baru ini.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya telah menerima laporan pada 8.26 pagi tadi selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.
Katanya, rakaman video berdurasi satu minit 50 saat yang tular di platform media sosial itu adalah mengenai kejadian sesi photoshoot pengantin yang melakukan pembakaran mercun (dianggarkan 50 sehingga 100 das) sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.
“Dalam rakaman tersebut menunjukkan kejadian berlaku pada 26 April jam 1.05 pagi dan pembakaran mercun dilakukan sebanyak tiga siri mercun secara berturut-turut.
“Kejadian kembali berulang pada 27 April jam lebih kurang 2.11 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Ramsay berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
Katanya, usaha mengesan dan menangkap suspek kejadian sedang giat dijalankan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Siti Mahanira Mahat di talian 0192522905 bagi membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

