BANDAR raya Kuching sekali lagi membuktikan kredibilitinya di persada antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi sulung di Malaysia bagi penganjuran Simposium Serantau Consortium of Institutes on Family in the Asian Region (CIFA) 2026.
Acara berprestij yang bakal berlangsung pada 18 hingga 20 November depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) ini dijangka menghimpunkan lebih 500 delegasi dari seluruh pelosok Asia Pasifik.
Pemilihan ibu negeri Sarawak ini bukan sekadar satu pencapaian ekonomi, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap Sarawak sebagai hab acara perniagaan yang strategik dalam memacu kemajuan sosial melangkaui pulangan kewangan.
Mengangkat tema Building Bridges: Mental Health and Resilience Across Generations in the AI Era, simposium ini hadir pada waktu yang sangat krusial.
Di tengah-tengah kepesatan teknologi, isu kebergantungan digital, kesunyian, dan jurang komunikasi antara generasi dilihat semakin memberi tekanan kepada institusi kekeluargaan.
Simposium ini bertujuan mengubah perbincangan daripada sekadar kesedaran kepada tindakan nyata, termasuk memperjuangkan akses kesihatan mental yang lebih mampu milik, perlindungan insurans, serta sokongan di tempat kerja.
Dalam majlis pelancaran awal yang penuh bermakna, penceramah jemputan memberikan perspektif yang cukup menarik tentang bagaimana daya tahan (resilience) manusia dibentuk dalam dunia yang serba pantas.
“Daya tahan atau resiliensi itu sebenarnya dipelajari melalui pengalaman hidup, bukannya dimuat turun (downloaded) seperti aplikasi digital.
“Ia dibentuk sejak zaman kanak-kanak, terutamanya melalui pemerhatian terhadap cara ibu bapa kita menguruskan tekanan dan emosi setiap hari,”kongsi Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj dalam sesi inspirasinya.
Sementara itu, Dr. Janet Ann Fernandez pula mengajak masyarakat melihat dunia digital dari sudut pandang yang lebih seimbang.
Baginya, transisi dari ‘kampung ke awan’ (cloud) tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memudaratkan semata-mata, sebaliknya sebagai alat yang jika difahami dengan betul, mampu meningkatkan kesejahteraan emosi antara generasi.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, menzahirkan rasa bangga atas pemilihan Kuching yang disifatkan sebagai bandar yang menghargai pembangunan inklusif dan kesejahteraan sosial.
“Kami mengiktiraf bahawa kesejahteraan mental adalah komponen penting dalam tadbir urus bandar yang moden.
“Kita perlu terus memecah stigma melalui dialog terbuka dan respons komuniti yang penuh empati.
“Kuching komited untuk menjadi ruang di mana setiap warga kota merasa disokong dan dihargai,” tegasnya.
Pengerusi Bersama Simposium, Siti Subaidah Mustaffa, turut menyeru agar pihak korporat, penyelidik, dan pembuat dasar tidak sekadar menjadi pemerhati, tetapi bergandatangan sebagai rakan strategik dalam membentuk dasar kesihatan mental yang lebih mampan.
Simposium ini merupakan anjuran bersama National Coalition for Mental Wellbeing (NCMW) Malaysia dan CIFA Hong Kong, dengan sokongan padu daripada Business Events Sarawak (BESarawak).
Menurut Jason Tan Chin Foo dari BESarawak, acara ini adalah bukti komitmen Sarawak terhadap Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang meletakkan modal insan dan kesejahteraan sosial sebagai keutamaan.
Dengan pelbagai program pra-acara yang dirancang menjelang simposium utama, Kuching 2026 bakal menjadi titik mula kepada anjakan paradigma dalam cara masyarakat Asia menguruskan kesihatan mental keluarga di era Kecerdasan Buatan (AI).

