Dua sindiket antarabangsa edar dadah bunga ganja bernilai RM12.6 juta tumpas

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

DUA sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan menerusi tiga serbuan berasingan di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang antara 28 dan 30 April lalu.

Pada masa sama, sejumlah 156.7 kilogram (KG) dadah jenis bunga ganja dengan nilai keseluruhan RM12.6 juta turut dirampas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, seramai tujuh warga asing berusia antara 18 hingga 27 tahun termasuk seorang wanita yang dipercayai keldai dadah turut ditahan.

Menurut Shazeli, serbuan pertama pada 28 April berlaku apabila Polis Bantuan MAHB KLIA telah mengesan empat bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan bagasi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA telah menahan tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita warga asing berumur antara 18 hingga 27 tahun di sekitar Terminal KLIA.

“Pemeriksaan ke atas keempat-empat bagasi tersebut telah berjaya merampas 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat berjumlah 67.2kg. Nilai keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM5.4 juta.

“Dalam serbuan ini juga, pihak polis telah menyita wang tunai berjumlah RM580, mata wang asing sebanyak 20 euro serta seutas jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM80,000.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Shazeli memberitahu, serbuan kedua pada 30 April pula melibatkan pengesanan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan bagasi di Terminal Satu KLIA dengan seorang suspek lelaki warga asing berumur 20 tahun telah ditahan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua bagasi tersebut telah berjaya merampas 59 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dianggarkan seberat 29.5kg.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi rampasan itu dianggarkan bernilai RM2.4 juta dengan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah THC,” jelasnya.

Hasil maklumat risikan daripada serbuan kedua, Shazeli memberitahu, dua lagi suspek lelaki warga asing berumur 19 dan 25 tahun telah ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan di premis telah berjaya merampas empat bagasi berisi 109 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60 kilogram.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi tangkapan ini dianggarkan berjumlah RM4.8 juta. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah THC,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kesemua suspek dikenalpasti memasuki negara ini hujung April lalu menggunakan pas lawatan sosial.

Jelas beliau, siasatan mendapati dadah berkenaan untuk pasaran Benua Eropah dan suspek menerima upah dalam matawang asing antaranya sekitar 5,000 pound Britain dan 3,000 hingga 5,000 euro.

“Semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan direman antara tujuh hingga 14 hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sukan untuk semua, 42 pasukan DUN meriahkan Liga Bola Jaring Pahang 1st

NEGERI Pahang kini melakar sejarah tersendiri dalam arena sukan apabila penganjuran julung kali Liga Bola Jaring Pahang 1st berjaya...

More Articles Like This