PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) disaran pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera sehingga penghujung tahun 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming berkata, saranan tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha proaktif Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan rakyat serta membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil.
Katanya, KPKT menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya PBT mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan masing-masing sebagai langkah segera membantu rakyat.
“Langkah strategik ini bertujuan untuk meringankan beban kos operasi yang ditanggung oleh penjaja dan peniaga kecil tempatan, sekali gus mengekalkan peluang pekerjaan serta memangkin pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan sahaja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan.
KPKT turut menghargai tindakan proaktif beberapa PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah mengumumkan pengurangan kadar sewaan sehingga 50 peratus serta kerajaan Negeri Sembilan yang mengurangkan kadar sewa sehingga 20 peratus.
Menurut beliau, inisiatif ini melengkapkan pelbagai usaha Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat dan komuniti peniaga kecil.
“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Kita mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara serta terus menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

