KEPUTUSAN Jemaah Menteri melaksanakan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) di lebih 1,000 pusat beli-belah seluruh negara membuktikan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh pengurusan sisa pepejal serta peralihan negara ke arah ekonomi kitaran lebih mampan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi pengurusan sisa yang lebih progresif dan berimpak tinggi.
“Kerajaan tidak melihat sisa sebagai sekadar beban, malah suatu sumber yang mempunyai nilai ekonomi.
“Justeru, langkah mewajibkan fasiliti kitar semula di pusat beli-belah sebagai syarat lesen perniagaan dapat memudahkan urusan rakyat dan memperkasa kemampanan pembangunan negara,” jelasnya dalam kenyataan.
Kor Ming berkata, matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah untuk menjadikan kitar semula semudah membeli-belah, dengan kewujudan kemudahan kitar semula di lebih 1,000 pusat beli-belah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini
Jelas beliau, pengguna serta peniaga di premis pusat beli-belah dapat mengasing dan menghantar bahan kitar semula dengan dekat dan mudah.
Tambahnya, inisiatif ini tidak hanya membantu mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, malah menyokong pembangunan ekonomi kitaran serta membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa utama bermula bulan ini bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara berkesan dan mampan,” katanya.
Fasa pertama jelasnya, memberi fokus kepada kelulusan, advokasi, pendaftaran sukarela serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri, di samping mempergiat program kesedaran awam mengenai amalan kitar semula.
Januari 2028 penguatkuasaan penuh
Katanya, fasa kedua yang bermula Januari hingga Jun 2027 pula melibatkan pelaksanaan projek rintis di beberapa PBT terpilih serta pindaan Undang-undang Kecil (UUK).
Ia jelasnya, bagi menguji sistem, menilai keperluan infrastruktur dan tahap penerimaan pengguna sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Seterusnya, fasa ketiga dari Julai hingga Disember 2027 akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan mandatori secara bersasar melalui syarat pelesenan dan garis panduan yang ditetapkan oleh PBT berdasarkan dapatan projek rintis.
“Fasa terakhir bermula Januari 2028 pula akan melibatkan penguatkuasaan penuh dan pemantauan berterusan, selain memastikan penyediaan FPS menjadi sebahagian daripada ekosistem pengurusan sisa pepejal dan ekonomi kitaran negara,” katanya.
Beliau memberitahu, Malaysia kini menghasilkan lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, dan melalui peningkatan kadar kitar semula, negara berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah serta memperkukuh pengurusan sisa secara lebih mampan.

