Farm Fresh meneruskan sambutan Hari Susu Sedunia mereka dengan menyumbangkan sebanyak 55,296 kotak susu UHT Farm Fresh Grow (Susu Rumusan) kepada murid-murid prasekolah di seluruh daerah Kinta Utara, Perak, hari ini.
Program ini memberi manfaat kepada seramai 3,167 orang murid prasekolah daripada 67 buah sekolah pada majlis sambutan peringkat daerah ini telah berlangsung dengan meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya melibatkan hampir 600 orang murid dan warga sekolah.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak, iaitu Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Fadilah Huwary bersama pegawai daripada Sektor Pengurusan Sekolah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Prasekolah dan Rendah, A’isah Mohd, serta wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara.
Sokong amalan pemakanan sihat
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Farm Fresh dalam menyokong amalan pemakanan sihat sejak usia muda, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengambilan susu dalam kalangan kanak-kanak.
Program ini juga selaras dengan usaha berterusan untuk membantu menangani isu malnutrisi serta menyokong pertumbuhan dan perkembangan generasi masa depan yang lebih sihat, cergas dan berdaya saing.

Di bawah Program Susu Sekolah, Farm Fresh melaksanakan pelbagai program CSR lain, termasuk lawatan pendidikan “School-to-Farm”, dermasiswa pelajar B40 STPM, kelas tuisyen matematik, pengedaran susu percuma serta pelbagai lagi program dengan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan.
Acara di SK Meru Raya ini dianjurkan selepas sambutan Hari Susu Sedunia mereka bersama orang ramai pada 1 Jun yang lalu dengan pemberian susu percuma di tiga kawasan di Lembah Klang, iaitu di Bukit Bintang, Pasar Seni dan IOI City Mall, Putrajaya.
Farm Fresh terus komited untuk menawarkan kebaikan tenusu setiap hari, kepada seluruh rakyat Malaysia.

