SUSHI King kini memperluas pengalaman menjamu seleranya menerusi pelancaran pengalaman Yakiniku Sushi King serba baharu di semua cawangan seluruh negara.
Berpaksikan semangat inovasi yang sama di sebalik konsep ikonik Kaiten Sushi, pengalaman baharu ini menawarkan rakyat Malaysia cara yang menyeronokkan dan interaktif untuk memanggang daging premium sambil mencipta detik bermakna bersama rakan dan keluarga.
Pengenalan yakiniku ini mencerminkan komitmen berterusan Sushi King menjadi antara destinasi sajian Jepun paling digemari di Malaysia, untuk terus berkembang seiring perubahan gaya hidup dan pilihan menjamu selera rakyat Malaysia.
Pengalaman baharu yang menarik ini menegaskan aspirasi jenama ini untuk menjadikan detik kebersamaan berkualiti lebih mudah didapati dan dinikmati serta berpatutan dengan menawarkan para pelanggan pengalaman premium mampu milik tanpa kompromi terhadap cita rasa, keselesaan atau keseronokan.
Pilihan lebih premium
Menu yakiniku baharu ini membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati potongan daging premium serta pilihan sajian lain, dengan kepelbagaian hidangan yang memenuhi pelbagai cita rasa bagi setiap orang.
Menu yakiniku serba baharu ini menawarkan hidangan set Signature Grill, bermula daripada RM22.90 untuk pelbagai pilihan premium seperti set Beef Kalbi, set Lamb Shoulder dan set Salmon.

Para pelanggan yang ingin menikmati pilihan yang lebih premium juga boleh menikmati Wagyu and Angus Striploin Deluxe Combo Set Meal, serta set Signature Grill Unagi dan Tiger Prawn, daripada hanya RM35.90 setiap set.
Setiap set lengkap dengan nasi kukus Jepun yang gebu, sayuran segar yang rangup, sup wakame yang kaya rasa, jeruk pedas dan sos istimewa, menjanjikan pengalaman yakiniku yang memuaskan serta berbaloi.
Cipta kenangan baharu
Pengasas Sushi King Sdn. Bhd, Tan Sri Dr. Fumihiko Konishi, berkata, Sushi King sentiasa berpegang pada hasrat untuk menyatukan orang ramai melalui makanan yang lazat dan pengalaman yang bermakna.
“Selama 31 tahun, kami terus berinovasi untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Daripada menjadi rangkaian restoran pertama yang menawarkan masakan Jepun yang halal di Malaysia, hingga kini memperkenalkan pengalaman menjamu hidangan yakiniku serba baharu di seluruh negara.
“Seiring perubahan tabiat menjamu selera, kami mahu Sushi King terus menjadi tempat orang ramai berkumpul, meraikan detik istimewa, berhubung semula dan mencipta kenangan baharu bersama rakan-rakan serta insan tersayang.
“Matlamat kami mudah, untuk menjadikan pengalaman menjamu selera Jepun yang menyeronokkan lebih mudah diperoleh, selesa dan bermakna untuk semua,” ujarnya.
Selain sushi dan tawaran yakiniku yang baharu dilancarkan, Sushi King turut menawarkan pelbagai hidangan kegemaran pelanggan termasuk sashimi, bento, donburi, kari Jepun, ramen dan banyak lagi.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

