Penyanyi popular, Baby Shima dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik apabila tampil dengan single berbahasa Iban berjudul Asai Ke Mimpi.
Ini sekali gus memperlihatkan keberaniannya meneroka kepelbagaian bahasa dan budaya dalam karya seni yang dibawakan.
Lagu Asai Ke Mimpi ciptaan Hairee Francis itu membawa kisah seorang wanita yang mengagumi lelaki yang dicintainya, namun dalam masa sama berharap agar lelaki tersebut kekal setia dan tidak mencari cinta lain.
Pesanan yang disampaikan cukup jelas iaitu kecurangan hanya akan membawa penyesalan di kemudian hari.
Apa yang lebih menarik, pemilihan lagu berbahasa Iban bukan sekadar cubaan mencipta kelainan.
Sebaliknya, ia lahir daripada minat mendalam Baby Shima terhadap keunikan bahasa dan budaya masyarakat Iban di Sarawak.
Menurut penyanyi itu, pengalamannya berada di Sarawak banyak membuka mata tentang keindahan budaya tempatan, termasuk muzik dan bahasa yang mempunyai identiti tersendiri.
“Saya memang suka belajar dialek dan bahasa baharu. Sebelum ini saya pernah menyanyikan lagu dalam dialek Kelantan dan Sabah, tetapi pengalaman mendekati masyarakat Iban memberi satu perasaan yang sangat istimewa,” katanya.
Terharu dengan sambutan masyarakat Iban
Dalam masa sama, Baby Shima mengakui terharu dengan sokongan yang diberikan masyarakat Sarawak terhadap lagu tersebut.
Penerimaan positif yang diterima membuatkan beliau lebih bersemangat untuk terus mempelajari bahasa Iban dan menghasilkan karya yang lebih dekat dengan budaya tempatan pada masa akan datang.
Malah, penyanyi itu turut menitipkan pesanan ringkas namun bermakna kepada masyarakat Iban.
‘Kitai sama-sama jaga bahasa kitai.’
Sempena sambutan Hari Gawai baru-baru ini, Baby Shima turut mengambil kesempatan mengucapkan ‘Gayu Guru Gerai Nyamai’ kepada seluruh masyarakat Sarawak.
Muzik satukan budaya
Kehadiran Asai Ke Mimpi membuktikan muzik mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai budaya dan bahasa.
Bagi Baby Shima, lagu tersebut bukan sekadar sebuah karya hiburan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap warisan budaya Sarawak yang kaya dengan keunikan tersendiri.
Usaha beliau menyanyikan lagu dalam bahasa Iban turut mendapat pujian ramai peminat yang melihatnya sebagai langkah positif dalam memperkenalkan budaya tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

