DALAM masa terdekat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan perancangan serta langkah awal bagi menangani isu yang wujud kesan daripada kemelut melanda Asia Barat.
Menteri berkaitan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, krisis tersebut semakin meruncing hari ini sehingga memberi kesan sangat mendalam, termasuk kepada sektor pendidikan tinggi negara.
Jelasnya, ia bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi global, malah turut memberi kesan kepada tahap pengurusan kewangan dalam kalangan warga pendidikan tinggi.
“Petang semalam, saya telah menerima kunjungan beberapa wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang hadir bertemu bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kementerian dan kerajaan.
“Ia dalam membantu warga kampus, khususnya para pelajar, menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup termasuk harga makanan dan keperluan harian,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Zambry menambah, beberapa idea serta cadangan telah dikemukakan dan beliau telah meminta pihak pegawai untuk meneliti perkara ini secara serius dan memberikan perhatian sewajarnya
“Selepas sesi perbincangan, saya ajak mereka untuk makan sekali. Sambil santai-santai dapat bersembang dan tanya perihal kampus dan lain-lain.
“Apa yang penting, suara mahasiswa bukan sekadar didengar, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

