KERAJAAN perlu memberi perhatian lebih serius terhadap peningkatan jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan walaupun petunjuk makroekonomi negara terus menunjukkan prestasi positif, kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beliau berkata, lebih 7,000 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diberhentikan kerja sejak awal tahun ini melebihi 38,000 orang.
Menurutnya, setiap kehilangan pekerjaan memberi kesan langsung kepada kehidupan sesebuah keluarga dan tidak boleh dianggap sekadar angka statistik.
“Setiap angka mewakili sebuah keluarga. Kerajaan tidak boleh mengambil ringan perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syahir berkata, kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi, kedudukan fiskal atau prestasi ringgit.
Sebaliknya, beliau menegaskan manfaat pertumbuhan ekonomi perlu dirasai rakyat dan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup serta peluang pekerjaan yang lebih baik.
Katanya, kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, walaupun kadar inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal.
“Tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu kemiskinan yang masih berterusan termasuk kemiskinan pelbagai dimensi di kawasan bandar serta tahap kebergantungan rakyat terhadap bantuan tunai kerajaan yang masih tinggi.
Pada masa sama, Syahir berkata, peningkatan hutang kad kredit dan penggunaan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dalam kalangan generasi muda perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan institusi kewangan.
Menurutnya, penyusutan simpanan rakyat, peningkatan hutang isi rumah, kadar upah yang rendah serta pertumbuhan gaji yang perlahan turut memerlukan tindakan segera daripada pihak berkaitan.
Beliau turut menggesa Kementerian Ekonomi tampil dengan pendekatan yang lebih proaktif dalam menangani cabaran ekonomi rakyat.
“Kepada Menteri Ekonomi, rakyat menantikan tindakan yang lebih agresif, bukan sekadar mengulas perkembangan ekonomi tetapi berani mengemukakan idea dan langkah intervensi yang berpandukan data rasmi serta realiti di lapangan,” katanya.
Mengulas isu pemberhentian pekerja, Syahir berkata, setiap individu yang kehilangan pekerjaan perlu dibantu melalui mekanisme insurans pekerjaan, bantuan kewangan serta perkhidmatan penempatan semula pekerjaan.
Beliau juga berpandangan ekonomi negara masih belum menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi, manakala isu guna tenaga tidak setara dengan kemahiran terus menjadi cabaran kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, beliau menggesa reformasi dipercepatkan bagi merancakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta memastikan pembangunan kemahiran tenaga kerja selaras dengan keperluan masa depan pasaran buruh.
“Jika isu ini ditangani dengan baik, jurang antara angka pertumbuhan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat dapat dirapatkan, sekali gus menjawab persoalan mengapa masih ramai kehilangan pekerjaan ketika ekonomi berkembang,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

