BERDEPAN arus pemodenan, ikon pencuci mulut kebanggaan rakyat Malaysia iaitu cendol, kini diberi nafas baharu menerusi inovasi minuman gaya hidup moden.
Menyedari ancaman kepupusan yang mendepani peniaga cendol tradisional di jalanan, jenama minuman tempatan popular, Koppiku, hari ini melakar sejarah dengan pelancaran Cendol Series yang menemui pengguna di 55 cawangannya di seluruh negara.
Langkah strategik ini bukan sekadar peluasan portfolio perniagaan, sebaliknya ia digerakkan bersama misi sosial yang utuh. Di saat cendol kekal menjadi hidangan penyatuan kaum di warung tepi jalan mahupun bazar Ramadan, kelangsungan perniagaan warisan ini kian terancam.

Realiti pahit seperti peningkatan usia peniaga, ketiadaan generasi pewaris, serta lonjakan kos bahan mentah utama khususnya santan dan gula melaka telah memaksa banyak gerai warisan gulung tikar.
Bagi mendepani krisis budaya ini, Koppiku tampil menggerakkan inisiatif Koppiku Cendol Stories. Kempen ini direka khas untuk merakam kisah perjuangan pengusaha cendol veteran, di samping menyalurkan sokongan padu dan menggalakkan masyarakat untuk terus menyokong perniagaan akar umbi ini agar ia tidak terus lenyap.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif murni tersebut, Pengasas Koppiku, Dr. Rajiv Bhanot menegaskan kemunculan inovasi moden jenama itu sama sekali tidak berniat untuk menyaingi, apatah lagi mengambil alih takhta cendol tradisional di pasaran tempatan.
“Matlamat utama kami adalah untuk melestarikan warisan rasa yang cukup sinonim dengan identiti serta budaya masyarakat kita agar ia terus kekal relevan dan mudah dinikmati oleh pelbagai generasi.
“Pada masa yang sama, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengangkat martabat peniaga cendol jalanan selaku perintis, supaya keringat dan warisan agung yang mereka perkenalkan tidak ditelan pusingan zaman,” katanya.
Rangkaian minuman terbaharu yang dilancarkan secara rasmi bermula hari ini mempertaruhkan tiga variasi memikat.
Ini termasuklah Cendol Klasik, Cendol Durian yang diperkaya dengan kelazatan puri D24 sebenar, serta inovasi hibrid Cendol Latte yang menggabungkan elemen tradisional bersama kepekatan kopi signatur Koppiku.
Demi mengekalkan profil rasa asli yang berlemak, kesemua minuman ini diadun sempurna menggunakan Kara Barista Coconut Milk, gula melaka asli, dan jagung manis.
Majlis pelancaran gilang-gemilang yang diadakan di ibu kota itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan tokoh pempengaruh tempatan seperti Asyraf Khalid, Juliana Evans, dan Spacedollah.
Turut berkongsi pandangan, pelakon dan usahawan terkenal, Tya Arifin menyifatkan pengenalan siri minuman ini sebagai satu anjakan yang sangat praktikal buat penggemar manisan tersebut.
“Sebagai pencinta tegar hidangan ini, inisiatif yang dibawakan oleh Koppiku sangat memudahkan kerana cendol kini boleh dinikmati dengan lebih pantas dan premium.
“Lebih mengujakan, sentuhan kreatif yang menggabungkan kesegaran cendol bersama magis kopi sememangnya satu ciptaan inovatif yang sangat menepati gaya hidup serta selera moden hari ini,” kongsi Tya penuh teruja.
Pengenalan Cendol Series ini dilihat amat bertepatan dengan momentum persiapan negara menjelang kempen Visit Malaysia 2026.
Ia berfungsi sebagai serampang dua mata dalam mempromosikan keunikan gastronomi tempatan kepada pelancong antarabangsa, sambil terus memelihara ekosistem perniagaan warisan masyarakat Malaysia.
Rangkaian minuman ini kini sedia untuk dinikmati dengan penawaran harga bermula dari RM5.90 hingga RM12.90 bergantung kepada saiz dan variasi pilihan di semua cawangan fizikal Koppiku.

