Dari Muzium ke Kopi Durian, KLDEX Tarikan Terbaharu Wajib Singgah di KL!

Dari Penulis

INDUSTRI agropelancongan dan gaya hidup tempatan bakal melakar sejarah baharu dengan pembukaan rasmi Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) pada 4 Julai ini.

Penubuhan infrastruktur bernilai tinggi itu secara langsung meletakkan Malaysia di peta global sebagai tuan rumah kepada pusat pengalaman durian bersepadu yang pertama dan terbesar di rantau Asia.

Mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta agensi Tourism Malaysia, projek mega ini merupakan cetusan idea dua usahawan, Ang Kean Wee dan Edison Ang Wei Phang.

Ia dibangunkan secara strategik di bawah kendalian MyBolehBoleh, sebuah syarikat peruncitan dan eksport durian tempatan yang telah mencipta nama di pasaran antarabangsa sejak penubuhannya pada 2023.

Berfungsi sebagai hab pendidikan dan pusat interaktif utama, KLDEX direka khusus untuk membawa pengunjung menyelami evolusi durian dari sudut yang belum pernah diterokai.

Menjanjikan satu pengembaraan imersif, ruang galeri muzium pusat ini mempamerkan pelbagai arkib sejarah eksklusif, termasuk rujukan dan catatan awal mengenai penemuan buah eksotik ini menerusi manuskrip sejarah Eropah serta peninggalan arkib tamadun Cina.

Bagi memberikan pengalaman fizikal yang lebih realistik, pihak pengurusan turut membangunkan satu zon simulasi dusun durian.

Menerusi zon ini, pengunjung, terutamanya pelancong asing, berpeluang merasai sendiri suasana autentik kebun durian, selain didedahkan dengan pelbagai maklumat teknikal berkaitan proses penanaman, ekosistem pembesaran pokok, dan revolusi pertanian tempatan.

Mengulas mengenai objektif utama penubuhan pusat tersebut, Pengasas Bersama KLDEX merangkap Pengasas MyBolehBoleh, Edison menegaskan bahawa inisiatif ini digerakkan sebagai satu langkah proaktif untuk mempertahankan legasi industri buah-buahan negara.

“Fokus utama kami adalah untuk memulihara warisan kebudayaan durian tanah air, di samping membina satu sistem dokumentasi yang teratur mengenai asal usul varieti premium seperti Musang King, Black Thorn, dan D24.

“Walaupun kualiti durian kita diiktiraf di seluruh dunia, kisah di sebalik kejayaan penanaman varieti ini jarang sekali diceritakan dengan lengkap.

“Sekiranya inisiatif pemeliharaan ini tidak dilakukan dari sekarang, kita bimbang naratif berharga ini akan pupus ditelan arus pemodenan,” katanya.

Lari daripada konsep pameran statik konvensional, KLDEX turut menyuntik elemen hiburan kontemporari menerusi pembinaan teater imersif.

Ruang ini mempersembahkan kehalusan seni budaya durian melalui pementasan teater dinamik yang menggabungkan elemen lakonan, koreografi kreatif, serta persembahan muzik berentak rap.

Pendekatan hibrid ini diyakini mampu menarik minat pelbagai lapisan demografi, khususnya generasi muda.

Melengkapkan ekosistem pusat sehenti ini, KLDEX turut menyediakan ruang peruncitan serta segmen makanan dan minuman (F&B) di aras bawah.

Menawarkan pengalaman gastronomi yang dikurasi secara eksklusif, pengunjung boleh mencuba pelbagai inovasi kulinari berasaskan raja buah tersebut, bermula daripada sajian tart durian premium hinggalah kepada minuman kopi durian yang dirumus khas.

Pembukaan KLDEX bukan sahaja bakal merancakkan sektor peruncitan tempatan, malah ia dijangka memacu pertumbuhan positif ekonomi negara dengan menarik kemasukan pelancong asing yang ingin merasai sendiri kekayaan warisan budaya Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Bukan Sekadar Minuman Moden, Koppiku Bawa Misi Lestarikan Warisan Peniaga Cendol Jalanan

BERDEPAN arus pemodenan, ikon pencuci mulut kebanggaan rakyat Malaysia iaitu cendol, kini diberi nafas baharu menerusi inovasi minuman gaya...

More Articles Like This