DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, satu inisiatif berterusan bagi menghidupkan semula antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di ibu negara.
Sebagai pembuka tirai program berkenaan, DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) bakal menganjurkan Konsert Gegar Panggung yang menampilkan dua kumpulan legenda rock tanah air, SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER, secara percuma.
Konsert berkenaan akan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari ini, pukul 8.30 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana.
Persembahan akan dimulakan oleh Tom Raja Farah bersama Kombo dan Artis Budaya DBKL sebelum pentas digegarkan oleh SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER. Acara ini akan dihoskan oleh Nadia.
Pemilihan kedua-dua kumpulan legenda itu dijangka menjadi tarikan utama memandangkan mereka sentiasa menerima sambutan luar biasa dan sering mencatatkan jualan tiket habis terjual bagi persembahan berbayar.
Justeru, peluang menyaksikan persembahan secara percuma ini merupakan penghargaan DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).
Bagi memeriahkan suasana, jualan makanan dan minuman akan bermula seawal pukul 5 petang, manakala orang ramai digalakkan hadir lebih awal bagi menikmati suasana santai dan mendapatkan tempat duduk.
Sebagai sebahagian daripada jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari memiliki nilai sejarah yang tinggi sebagai ruang pertemuan seni dan budaya masyarakat bandar.
Menyedari kepentingan legasi tersebut, DBKL merancang 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026 bermula Januari, melibatkan penggiat seni lama dan baharu.
Inisiatif ini bertujuan memastikan Panggung Anniversari terus berfungsi secara aktif sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform merentas generasi dan genre, serta menyokong agenda pemuliharaan warisan bandar di bawah inisiatif Warisan KL.
Sehubungan itu, DBKL mengalu-alukan kerjasama agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, NGO, sektor korporat serta komuniti seni bagi bersama-sama menjayakan program sepanjang tahun 2026.
Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan DBKL melalui Jabatan CATS dengan sokongan kewangan Kementerian Kewangan Malaysia.
Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari dijangka kembali berperanan sebagai nadi seni budaya kota serta ruang hidup yang terus mencipta kenangan dan membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.

