POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam keadaan bergari selepas didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman menegaskan, Haim Hilman berada dalam keadaan demikian mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurut Mohd Yatim, ia kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu masih dalam perintah mahkamah.
Bagaimanapun katanya, gari yang dipakai kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah itu dibuka sebaik sahaja beliau selesai membayar wang jaminan.
“Bahagian Hal Ehwal Awam (Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban) mengesan satu hantaran tular di media sosial yang mempersoalkan tindakan menggari Haim Hilman sebagai orang kena tuduh (OKT) didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan yang lazimnya tidak melibatkan tangkapan di Mahkamah Majistret Seremban.
“Penama digari selepas jaminan ditawarkan kepadanya.
“Penama mula digari dari dalam mahkamah sehingga ke kaunter pembayaran jaminan. Gari telah dibuka setelah penama membayar wang jaminan di kaunter mahkamah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Haim Hilman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataan universiti awam menjual tempat kepada golongan tertentu baru-baru ini.
Haim Hilman, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, Haim selaku orang kena saman (OKS) dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang demikian mana-mana orang mungkin terdorong untuk melakukan kesalahan terhadap ketenangan awam.
Antara kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit’.
‘Bukan salah ibu ayah yang ada kemampuan, salah kerajaan tidak menambah tempat di universiti. Dah tahu orang makin ramai pandai, jumlah di fakulti tidak ditambah. Inilah bala yang sedang melanda negara kita’.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas Pas Seremban pada 13 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

