TABUNG Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM52 juta kepada 2,400 usahawan di Johor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong semasa menghadiri sesi Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 400 usahawan Tekun Johor, baru-baru ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan memaklumkan, penyaluran itu menjadikan usahawan di Johor kini merupakan negeri ketiga tertinggi yang menerima pembiayaan Tekun Nasional.
Daripada keseluruhan penerima pembiayaan tersebut, KUSKOP berkata, seramai 64 peratus merupakan usahawan wanita.
“Pencapaian ini menunjukkan kaum wanita Johor memainkan peranan yang amat penting dalam aktiviti keusahawanan dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, KUSKOP menjelaskan, penerima pembiayaan TEKUN di Johor kebanyakannya terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan seramai 1,183 usahawan.
Selain itu, katanya, ia diikuti sebanyak 669 usahawan sektor peruncitan; 260 usahawan pembuatan; kontraktor kecil (234) serta pertanian dan perusahaan asas tani (54).
Steven Sim berkata, majoriti usahawan Tekun terdiri daripada usahawan mikro dan komuniti yang merupakan antara tulang belakang ekonomi rakyat.
Beliau menjelaskan, ini sejajar dengan landskap perusahaan negara di mana hampir 80 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro.
“Beliau merakamkan penghargaan kepada para usahawan Tekun atas dedikasi mereka dalam membangunkan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga masing-masing.
“Di samping itu, ia juga menyumbang sebagai antara penggerak ekonomi rakyat dan negara,” jelasnya.
Menurut Steven Sim, pembiayaan Tekun bukan sekadar menyediakan modal perniagaan, malah turut membuka ruang kepada peningkatan teknologi, keupayaan perniagaan dan produktiviti usahawan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

