LEBIH 39,550 penduduk di sekitar George Town dijangka mendapat manfaat daripada Projek Menaiktaraf Pam dan Kolam Takungan Banjir S18 yang hampir siap sepenuhnya pada 19 Jun ini.
Projek bernilai RM6.3 juta yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu merupakan antara inisiatif utama bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar berkenaan.
PETRA dalam kenyataan memberitahu, projek tersebut membabitkan kerja menaiktaraf tiga unit pam, struktur kolam takungan, sistem mekanikal dan bekalan elektrikal serta kerja pengorekan enapan untuk meningkatkan kapasiti kolam.
Menurut PETRA, peningkatan kapasiti Kolam Takungan Banjir S18 amat penting memandangkan kemudahan yang dibina pada 2007 itu kini berdepan faktor penuaan aset serta peningkatan keperluan sistem saliran bandar.
“Projek ini merupakan antara usaha Kerajaan dalam menangani isu banjir kilat di kawasan George Town dan memastikan sistem tebatan banjir terus berfungsi dengan lebih berkesan,” jelas PETRA.

Terdahulu, Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek tersebut di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Menurut PETRA, faktor peralihan monsun dan taburan hujan lebat yang melebihi kapasiti sistem perparitan sedia ada sering menjadi punca kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, penyiapan projek berkenaan dijangka mampu meningkatkan keupayaan sistem saliran bandar, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan gangguan kepada penduduk setempat.
PETRA menegaskan kementerian itu akan terus memperkukuh pelaksanaan projek mitigasi bencana air di seluruh negara bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim.
Usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada aspek kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat menerusi pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan serta inklusif.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

