Kisah ‘ini kalilah’ Tangkak dan panglima mencatur permainan

Dari Penulis

BARU-BARU ini saya pulang ke kampung di Melaka, saya keluar ikut tol Tangkak, Johor.

Keluar dari tol, saya menghala ke pusat bandar Tangkak, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Dalam PRN Johor pada 2022, calon PH, Ee Chin Li menang dengan majoriti 372 undi.

Beliau sekali lagi diletakkan sebagai calon menentang BN, Datuk Haw Chin Teck.

Tangkak merupakan antara kawasan DUN yang memiliki jumlah pengundi besar, 36,955 orang. Dari sinilah pintu masuk ke gunung legenda, Gunung Ledang.

Bandarnya boleh dikatakan besar, sayangnya bagi saya, ia tidak lagi rancak dikenali sebagai ‘syurga kain’, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Dari tol Tangkak menuju ke bandar, dari segi perang bendera, sepanjang pemerhatian saya, banyak dikuasai bendera BN.

Adakah orang Tangkak ‘ini kalilah’ mahukan BN? Ya kita tunggulah 11 Julai ini. Dengan berpegang kepada 372 majoriti undi, calon PH kali ini kena bekerja lagi keras.

Tangkak bagi saya bandar yang cukup istimewa, menjadi nadi penghubung ke Muar, Segamat dan Jasin, Melaka.

Orang Jasin, tahun-tahun sebelum ini ramai yang datang ke Tangkak untuk membeli-belah barang keperluan kerana bandarnya hidup sampai ke malam.

Kini orang Jasin sudah ‘melupakan’ Tangkak, kerana pembangunan di Jasin khususnya di Jasin Bestari jauh lebih besar dan banyak pilihan, berbanding Tangkak yang tiada pasar raya besar.

Saya pun tidak tahu kenapa Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain tidak meletakkan calon mereka di DUN Tangkak, bagi merancakkan kempen-kempen bercakap mengenai Tangkak.

Kerana bagi saya, Tangkak memerlukan satu sentuhan baharu untuk bersaing dengan Jasin dan juga Muar.

Panjang bercakap mengenai Tangkak, PRN kali ini bagaikan ‘suram’ dengan suara-suara siapa ‘poster boy’ bagi PH sedangkan di pihak BN ‘sudah terang lagi bersuluh’ meletakkan Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi.

Tetapi ramai yang menyebut nama calon DUN Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik sebagai ‘poster boy’ PH.

PH memberi alasan tidak menamakan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ bagi PRN Johor kerana menghormati hak istana dalam membuat pelantikan.

Dua panglima perang

Jauh daripada semuanya ini, PRN Johor kata Pak Hassan (Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim) mempamerkan dua panglima perang, antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Onn Hafiz.

Fikir beliau, Pengerusi PH itu (Anwar) kelihatan aktif berkempen hampir setiap hari.

Seorang dari Pusat (Anwar) dan seorang lagi pemimpin negeri (Onn Hafiz), dua sosok ini punyai senjata tersendiri, berperang menawan hati pengundi.

Namun dari sudut pemikiran Pak Hassan, kemenangan BN akan mencalarkan imej PH yang didakwa mempamerkan Perdana Menteri sebagai panglima perang gabungan tersebut.

Jika PH ditakdirkan tewas, beliau mendakwa kesannya sangat buruk.

“Imej Anwar sebagai panglima perang yang dapat dikalahkan Onn Hafiz akan mencalarkan wajah PH dan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak lama lagi,” tegur beliau.

Selain DUN Tangkak, kerusi DUN Bukit Batu yang dimenangi PH dalam PRN Johor 2022 juga mencatat majoriti tipis iaitu 137 undi. Begitu juga dengan DUN Jementah (714 majoriti).

Tujuh lagi kerusi juga mencatatkan majoriti bawah 1,000 undi iaitu Bukit Pasir, Parit Yaani, Serom, Bukit Kepong, Tiram, Endau dan Puteri Wangsa.

Kita tunggu 11 Julai ini. Masih ada masa untuk calon memperhebat kempen dan turun padang menemui pengundi.

Tetapi untuk tempoh seminggu ini, rasanya masih belum ‘panas’.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pelajar ditikam di Banting: Fadhlina tinjau lokasi, mohon jangan sebar berita palsu

ORANG ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah berhubung kejadian seorang pelajar ditikam rakannya dalam kejadian di...

More Articles Like This