Pada lewat tahun 1970-an, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, Billy Milligan telah disahkan mengalami masalah gangguan identiti. Selain memperkenalkan dirinya sebagai Billy Milligan, di dalam badannya dikatakan terdapat 24 karakter lain yang berbeza.

Kes Billy ini mula terbongkar apabila dia ditahan setelah didapati bersalah atas tuduhan merogol dan merompak tiga graduan Ohio State University. Beliau kemudian dihadapkan ke mahkamah Ohio untuk dibicarakan.

Billy Milligan.

Ketika perbicaraan berlangsung, Billy mengaku tidak bersalah kerana beliau sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Billy hanya mengetahui dirinya dituduh melakukan jenayah, tetapi dia tidak menyedari bila dan di mana kejadian tersebut berlaku.

Hakim kemudian mengarahkan supaya Billy melalui ujian psikologi di bawah penyeliaan pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr. George Harding Jr.

Hasil ujian tersebut sangat mengejutkan apabila Dr. Harding mengesahkan Billy tidak bersalah, sebaliknya terdapat beberapa personaliti lain di dalam tubuhnya yang telah melakukan jenayah tersebut.

Dr. Harding yang melakukan rawatan psikologi selama dua minggu terhadap Billy juga mendapati, terdapat 24 identiti yang berbeza di dalam tubuh lelaki muda itu. Walaupun kesemua karakter tersebut berbeza, namun ia seakan-akan mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Berdasarkan laporan perubatan yang dikemukakan, mahkamah Ohio telah membatalkan pertuduhan ke atas Billy kerana didapati mengalami masalah gangguan identiti.

Hakim mengarahkan supaya Billy ditahan di hospital mental untuk menjalani rawatan susulan sebelum dibebaskan sepenuhnya pada tahun 1988. Ia adalah kes pertama dalam sejarah perundangan dunia yang membenarkan defendan membela diri disebabkan masalah Multiple Personality Disorder (MID) atau gangguan keperibadian.

Siapa identiti berbeza dalam tubuh Billy?

Rumusan daripada laporan yang dibuat oleh Dr. Harding mendapati, Billy Milligan adalah keperibadian teras yang menguasai dirinya. Selain itu, terdapat dua watak lain yang mempunyai pengaruh kuat di dalam tubuhnya iaitu bernama ‘Arthur’ dan ‘Ragen Vadascovinich’.

Gambaran sebahagian karektor berbeza dalam diri Billy.

Personaliti Arthur adalah seorang lelaki Inggeris yang hidup dalam kemodenan dan mempunyai pengetahuan luas dalam bidang sains dan ilmu perubatan dengan kepakaran hematologi. Apabila watak Arthur muncul, dia mampu mengulas satu per satu fakta berkaitan hematologi dengan tepat tanpa sebarang masalah. Sedangkan dalam hidupnya Billy tidak pernah langsung mempelajari semua itu.

Manakala Ragen pula identitinya digambarkan sebagai rakyat Yugoslavia, mampu menulis dan bercakap dalam bahasa Serbo-Crotia. Ragen adalah seorang komunis serta mempunyai kekuatan ekstrem dalam dirinya. Dalam masa yang sama, Ragen suka membantu orang yang lemah terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Billy (kanan) sewaktu perbicaraan pada Februari 1984.

Oh ya, identiti yang mengaku bersalah memperkosa tiga mahasiswa tersebut ialah ‘Adalana’, seorang lesbian. Bagaimanapun, Adalana adalah seorang pembersih yang suka mengemas rumah. Dia juga suka memasak serta mempunyai hobi menulis puisi.

Identiti lain pula bernama ‘Allen’ yang digambarkan seorang penipu dan pakar memanipulasikan keadaan. Apabila berhadapan dengan dunia luar, Allen akan menguasai diri Billy. Dia adalah satu-satunya identiti dalam tubuh tersebut yang mempunyai tabiat merokok.

Jangan terkejut jika ada satu identiti lain dalam diri Billy yang beragama Islam dan mampu membaca serta bercakap dalam bahasa Arab dengan fasih.

Begitu juga dengan watak-watak lain di dalam tubuhnya yang mempunyai karakter serta sikap yang berbeza setiap satu. Kadangkala Billy akan bertukar menjadi kanak-kanak, berubah menjadi pembuli dan ada kalanya menjadi seorang guru.

Buku yang menceritakan identiti berganda Billy.

Kisah Billy ini dianggap sebagai kes gangguan identiti yang paling aneh sehinggakan ia dibukukan pada tahun 1981 dengan judul ’The Minds of Billy Milligan’ yang turut dialih kepada 14 bahasa untuk pasaran seluruh dunia. Sebuah filem berjudul ‘The Crowded Room’ juga diilhamkan daripada kisah ini, namun pembikinan filem tersebut yang bermula sejak tahun 1990-an sehingga kini masih belum selesai kerana berdepan faktor dalaman termasuk saman.

Sebelum abad ke-20, gejala psikologi begini sering dikaitkan dengan aktiviti paranormal. Namun, pakar psikologi moden menolak dakwaan itu dengan menganggap ia adalah fenomena gangguan personaliti.

Gangguan personaliti atau ‘Multiple Personality Disorder’ ini didefinisikan sebagai kelainan mental di mana seseorang yang menghidapnya akan menunjukkan adanya dua atau lebih karakter yang berbeza. Jumlah karakter ini boleh mencecah dalam jumlah yang banyak dan memiliki nama, jenis kelamin, ras, gaya, cara percakapan serta peribadi yang berbeza.

Bukan itu sahaja, apabila berlaku perubahan watak, perubahan biologi juga turut berlaku. Kadar degupan jantungnya akan berubah. Demikian juga suhu tubuh, tekanan darah serta kemampuannya melihat juga akan turut berubah. Bahkan, ia akan memberi reaksi yang berbeza terhadap perubatan. Sebagai contoh, jika pesakit seorang yang sihat, dia akan mengalami alahan terhadap sesuatu sekiranya watak tersebut menghidap masalah alahan.

Kebiasaannya setiap karakter ini mengambil alih perwatakan hanya dalam tempoh beberapa saat atau minit sahaja. Ia biasanya berubah mengikut keadaan serta kadar stres yang dialami seseorang.

Sehingga ke hari ini, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar memahami bagaimana perkara ini berlaku. Namun, rata-rata pakar psikologi mengaitkan perkara ini adalah disebabkan kejadian trauma seseorang semasa kecil.

Billy Milligan mati kerana kanser pada 12 Disember 2014 pada usia 59 tahun di rumah kebajikan.