PENYANYI nasyid Hafiz Hamidun mengumumkan kemunculan semula dengan membawa Salawat Islam moden yang baru kepada peminat dengan pelancaran album studio keenam yang dinantikan, Marhaba.
Album tersebut sudah dilancarkan pada 1 Januari lalu dan ia merupakan kesinambungan album terdahulu iaitu Zikir Terapi.
Malah, serentak dengan pelancaran album itu, ia sekaligus menandakan pra-pesanan untuk album fizikal boleh dibuat secara eksklusif melalui Shopee.
Sebanyak 3000 set kotak yang mengandungi salinan album fizikal telah dijual untuk pra-pesanan sejak 12 Disember 2020.
Hafiz merakam sebahagian besar album Marhaba di Istanbul, Turki, dan di studionya di Petaling Jaya, Selangor, bersama pemuzik dan jurutera yang sangat berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Australia.
Album ini mengandungi 13 trek seperti Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi, Khairal Bariyyah dan banyak lagi. Manakal bagi 12 video muzik pula, ia akan menyusul selepas pelancaran album ini dan akan dikeluarkan satu setiap bulan mulai Januari ini.
“Sejak 2015, saya menghabiskan masa lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir, dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.
“Perjalanan itu sungguh hebat, kerana saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia. Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada, dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik dari saya,” kata Hafiz.
“Semasa menghasilkan album ini, saya selalu mengingatkan diri saya seperti ini adalah album terakhir dari saya. Dengan berbuat demikian, saya memberikan cabaran kepada diri saya untuk menjadikan album ini sebaik mungkin.
“Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna, tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil dari titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini,” katanya.

Evolusi Hafiz Hamidun tidak kurang hebatnya. Setelah menjadi ahli kumpulan nasyid UNIC, dia menjadi artis solo dengan rentetan pelancaran ikonik, produser dan komposer pemenang anugerah, dan pengusaha muzik dengan jejak antarabangsa.
Sumbangan inovatifnya terhadap muzik nasyid telah menyebabkan dia dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

