PENYANYI dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya apabila diumumkan sebagai Wajah Rasmi Pakej Haji 2026 di bawah Jay Ibrahim Al IslaM.
Syarikat terbabit merupakan antara 37 buah agensi Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik secara rasmi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk musim haji tahun hadapan.
Majlis pengumuman berlangsung penuh makna di Hotel Movenpick KLIA, disaksikan wakil Tabung Haji, penggiat industri haji dan umrah serta rakan media.
Pelantikan Hafiz dilihat bukan sekadar kerjasama promosi, sebaliknya sebagai inisiatif spiritual untuk mendekatkan ibadah haji kepada generasi muda dan keluarga moden agar mereka memahami perjalanan ke Tanah Suci bukan hanya sebagai ibadah fizikal, tetapi perjalanan hati dan penyucian jiwa.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan. Ibadah haji adalah kemuncak perjalanan hidup seorang Muslim.
“Saya ingin membantu lebih ramai jemaah mendekatinya dengan hati yang bersedia, penuh ilmu dan ketenangan,” ujar Hafiz yang turut tersenarai selama 11 tahun berturut-turut dalam The 500 Most Influential Muslims in the World oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre, bersama nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam iaitu Muhammad Jay Ibrahim, pemilihan Hafiz bukan sekadar popularitinya, tetapi kerana nilai dan pengaruh positif yang dibawa melalui karya serta personalitinya.
“Hafiz Hamidun mencerminkan keseimbangan antara ilmu agama, seni dan inspirasi rohani.
“Kami mahu bimbingan haji kami bukan sekadar perjalanan selesa, tetapi perjalanan yang menyentuh jiwa dan memberi makna,” katanya.
Sebagai syarikat PJH berlesen, Jay Ibrahim Al Islam menawarkan pakej haji lengkap yang menekankan bimbingan intensif sebelum berangkat, mutawwif berpengalaman, penginapan selesa di Tanah Suci, serta sokongan kebajikan dan logistik menyeluruh sepanjang ibadah berlangsung.
Orang ramai yang berhajat menunaikan haji pada 2026 disarankan untuk mendaftar lebih awal bagi memastikan tempat dan proses bimbingan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan tersusun.
Pelantikan itu sekali gus mengangkat nama Hafiz bukan hanya sebagai figura seni Islamik, tetapi juga ikon inspirasi rohani yang terus mengajak masyarakat melihat keindahan ibadah melalui perspektif yang lebih mendalam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

