IKON nasyid popular tanah air, komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun sekali lagi tampil dengan album studio terbaharunya berjudul Haramain yang diinspirasikan dari perjalanan spiritual ke dua kota terpenting bagi umat Islam iaitu Mekah dan Madinah, hasil kolaboratif kreatif bersama barisan penulis lirik berpengalaman iaitu ITO Lara, Fedtri Yahya dan Hafiz sendiri, dan diterbitkan oleh label rakaman tidak asing lagi, Sony Music Malaysia.
“Kunjungan ke Tanah Suci banyak memberi inspirasi dalam penghasilan album studio ini. Saya rasakan, ini merupakan detik yang terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian bagi membangkitkan rasa kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” kongsi Hafiz yang merupakan Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaanya yang aktif dengan kerja-kerja amal.
Kali terakhir Hafiz muncul dengan mana-mana album adalah pada 2021 melalui album “Zikir Terapi (Acapella)” yang merupakan kesinambungan dari album studio paling hitnya “Zikir Terapi Diri” pada 2011.
“Sejurus album terakhir dihasilkan, saya berada di persimpangan, samada mahu meneruskan penghasilan album studio atau terus penghasilan single sahaja kerana album tersebut dirakamkan sewaktu musim PKP dimana saya melalui pelbagai cabaran dan kesukaran. Selepas itu, saya hanya fokus kepada penghasilan single sahaja,” kata Hafiz.
Sebagai penggiat seni, Hafiz akur kepuasan sebenar dalam berkarya datang melalui penghasilan album penuh.
“Pada penghujung tahun 2023, saya menanam hasrat untuk tampil dengan sebuah album konsep. Dan lagu ‘Zamzam’ (trek ke-2) yang turut menampilkan kumpulan vokal hip hop dan R&B soul terkenal Ruffedge menjadi penanda aras album ini,” jelas Hafiz mengenai album Haramain yang mengandungi 10 buah lagu kesemuanya seperti:
“Batu Hitam”, “Zamzam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Jabal Qubais”, “Arafah”, “Baqi’”, “Raudah (Slow Version)”, “Srikandi Solehah” dan “Kiswah”.
“Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini membawa mesej kecintaan dan kerinduanterhadap Tanah Suci. Keindahan pengalaman mengerjakan ibadah Haji dan Umrah, keagungan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah yang diceritakan dalam setiap lagu membawa pendengar melalui perjalanan spiritual ke tempat-tempat istimewa ini.
“Album ini lebih fokus kepada pengalaman spiritual dan bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi sebuah perjalanan hati yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT.
“Saya bersyukur kerana pihak Sony Music Malaysia positif dan berhasrat untuk menerbitkan album ini. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, kami akhirnya bersetuju untuk memulakan proses pembikinan album studio ini yang bermula sekitar bulan Jun tahun ini,” jelas Hafiz mengenai tempoh yang diambil untuk menghasilkan album Haramain yang memakan masa selama enam bulan.
Selain Malaysia, Hafiz berkongsi proses rakaman turut dilakukan di luar negara bagi mendapatkan sentuhan asli muzik Timur Tengah seperti Turki yang sering dikunjunginya.
“Seperti biasa, saya akan terbang ke Istanbul untuk merakamkan beberapa elemen muzik di sana khususnya untuk instrumen muzik seperti ‘strings’, klarinet, Baglama (gambus Turki), perkusi (genderang) dan lain-lain,” ulasnya.
Secara keseluruhan, album Haramain adalah berkonsepkan pop nasyid yang pelbagai dengan sentuhan muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi dan Mesir yang disulam dengan elemen melodi akustik moden yang terancang untuk menonjolkan keaslian dan keindahan liriknya.
Selain album, video muzik (MV) lagu-lagu dalam album Haramain banyak menampilkan paparan keindahan Mekah dan Madinah dengan elemen spiritual secara sinematik yang memberi pengalaman visual mendalam buat penonton.
Hafiz berharap agar album Haramain ini dapat menjadi teman spiritual buat pendengar, katanya: “Semoga lagu-lagu dalam album ini membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT lantas mencetus rasa syukur atas nikmat iman.
“Insya-Allah, saya juga merancang untuk menghasilkan album kesinambungannya yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa.
“Kini, saya sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain, yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu dan berkemungkinan Mandarin.
“Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang,” ungkapnya.
Album Haramain boleh dimuat turun melalui semua aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan juga YouTube Music.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

