rina harun

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rina Mohd Harun menjadi anggota Kabinet terbaru yang disahkan positif COVID-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh setelah ujian saringan COVID-19 diperoleh malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebentar tadi.

“YB Datuk Seri Rina telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan jangkitan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa memohon maaf atas kesulitan yang berlaku susulan perkembangan terbaharu berhubung jangkitan COVID-19 kepadanya.

“Beliau juga akan pastikan, semasa ketiadaan beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian Kementerian akan tetap berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif COVID-19.

Ahli Parlimen Jeli itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Hari ini, semua anggota Kabinet dan pegawai yang terlibat Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri 6 Januari lalu diminta menjalani ujian saringan COVID-19.

Mesyuarat Kabinet 6 Januari lalu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. / Gambar FB Ketua Setiausaha Negara

Pada tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menjadi anggota Kabinet pertama disah positif.