PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluar dan membekalkan vaksin COVID-19 Pfizer di negara ini.
Perjanjian itu adalah lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 November lalu.
Memetik laporan Bernama, perjanjian dimeterai secara telesidang oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei), Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer.

Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer, Anil Argilla.
Menurut kenyataan KKM, perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 (12.79 juta) dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi 20 peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.
“Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.
“Kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi 39 peratus populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021,” kata KKM.

Argilla pula berkata, Pfizer komited untuk memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.
“Ini adalah satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia,” katanya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, suntikan vaksin COVID-19 kepada rakyat Malaysia akan bermula bulan depan.
Pada peringkat pertama, petugas barisan hadapan akan menjadi kelompok awal yang menerimanya.
Suntikan tersebut melibatkan dua dos dengan suntikan susulan dilakukan 21 hari selepas suntikan pertama.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech beberapa hari lalu.
Selain keluaran Pfizer, Malaysia turut mendapatkan vaksin virus tersebut menerusi pelbagai sumber dengan proses vaksinisasi COVID-19 akan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk semua rakyat.

