Berlaku kejadian aneh semasa melancong, mereka dibawa ‘masuk’ ke zaman lalu

0
172

Pada Oktober 1979, dua pasang suami isteri dari England, merancang untuk pergi mengembara ke Perancis dan Sepanyol. Pasangan itu, Geoff Simpson dan isterinya Pauline, dan rakan baik mereka Len Gisby dan isterinya Cynthia.

Keempat-empat mereka menaiki feri melintasi Selat Inggeris untuk memasuki Perancis. Setibanya di negara itu, mereka menyewa sebuah kereta dan memandu ke bahagian utara Perancis.

Apabila hari mulai gelap, mereka bercadang mencari hotel di daerah Montelimar untuk bermalam.

Mereka ternampak sebuah motel lalu berhenti. Di lobi, ada seorang lelaki dengan seragam warna plum lusuh yang gayanya agak ketinggalan zaman. Lelaki itu memberitahu, bilik kesemuanya penuh. Dia menunjukkan sebuah lagi motel kecil di tepi jalan menuju ke arah selatan.

Kedua-dua pasangan itu berlalu dan kereta dipandu mengarah ke selatan.  Semakin lama, mereka tidak lagi melalui jalan bertar. Sebaliknya masuk ke sebatang jalan yang berbatu. Di kiri kanannya pula dipenuhi bangunan-bangunan lama seperti zaman dahulu.

Mereka terus memandu sehingga ternampak dua buah bangunan. Satu adalah balai polis yang kelihatan sudah lama, dan di sebelahnya sebuah bangunan yang sepenuhnya diperbuat daripada kayu dan tertera perkataan ‘HOTEL’ di luarnya.

Mereka sepakat untuk bermalam di situ. Sebaik masuk ke dalam hotel, keempat-empat mereka berasa pelik. Hotel itu terlihat sangat lama bentuknya. Mejanya tidak beralas, tiada lif, tiada telefon.

Bilik mereka juga aneh. Pintu bilik bukan menggunakan kunci tombol, namun disangkutkan dengan alang kayu. Tilam pula dialas dengan cadar dari kain belacu, fabrik yang tidak lagi digunakan sejak sekian lama sebagai alas cadar.

Tingkap bilik juga ketinggalan zaman. Tiada tingkap kaca seperti kelaziman. Hanya bidai semata-mata. Begitu juga di bilik air, sistem paipnya seperti zaman lama, rekaan yang sudah tidak lagi digunakan.

Walaupun terasa aneh, namun kerana kepenatan, kedua-dua pasangan itu terus masuk ke bilik dan tertidur.

Keesokan hari, mereka turun ke ruang makan untuk bersarapan. Turut ada di situ seorang wanita yang memakai gaun sutera kembang seperti zaman dahulu. Gayanya seperti baru pulang dari majlis tari-menari.

Kemudian, masuk pula dua orang polis lelaki. Pun mereka hairan melihat pakaian polis itu. Seragam mereka tampak lusuh dan ketinggalan zaman dan memakai mantel. Tidak seperti polis Perancis yang mereka temui sebelum sampai di kawasan hotel tersebut.

Selepas bersarapan, kedua-dua pasangan itu naik semula ke bilik dan berkemas untuk keluar. Namun sebelum itu, mereka sempat mengambil beberapa keping gambar di dalam bilik itu.

Di kaunter, semasa hendak membayar bil, Geoff terkejut bila pengurus hotel hanya memintanya sebanyak 19 Franc untuk kedua-dua bilik yang mereka duduki. Dia tidak percaya harganya semurah itu.

Sebelum bergerak, Geoff dan Len sempat berborak dengan dua orang polis yang mereka lihat di ruang makan hotel. Geoff bertanyakan arah jalan menuju ke sempadan Sepanyol.

Namun, polis berseragam lama itu seperti kurang faham dan tidak tahu erti ‘lebuh raya’ bila Geoff menyebutnya. Sebaliknya, mereka memberi petunjuk melalui peta dan menunjukkan jalan lama yang lebih jauh daripada yang sepatutnya.

Geoff tersasar jauh bila mengikut arah yang diberi polis itu. Pun begitu, keempat-empat mereka berjaya sampai di Sepanyol dan menghabiskan masa selama dua minggu mengembara di negara itu.

Tamat penjelajahan, kedua-dua pasangan itu pulang semula, melalui jalan yang sama seperti mereka datang. Tiba di daerah Montelimar di Perancis, mereka kembali mencari hotel lama yang pernah dihuni sebelumnya.

Namun, sudah puas berpusing mencari, mereka tidak menemui hotel tersebut. Bahkan, deretan bangunan lama seperti zaman dulu juga tidak kelihatan.

Geoff yakin mereka tidak salah jalan. Malah, mereka turut singgah di hotel pertama yang sebelum itu penuh. Yang menghairankan, pekerja hotel itu menafikan ada pekerja berpakaian seragam plum lusuh yang menunjuk arah ke arah hotel lama itu seperti yang diceritakan Geoff.

Geoof dan Len yakin mereka tidak salah jalan. Mereka sudah masuk simpang dan arah yang betul. Cuma, bangunan lama, jalan berbatu dan hotel aneh yang pernah mereka lihat dan duduki itu bagaikan sudah lenyap sekelip mata.

Akhirnya malam itu mereka menginap di sebuah hotel moden berserta makan malam dan sarapan dengan harga 247 Franc.

Pulang dari pengembaraan itu, Geoff mencuci rol filem daripada kameranya. Kesemua rol itu dipenuhi dengan gambar-gambar percutian mereka. Tetapi, ada satu bahagian di mana mereka mengambil gambar di hotel lama yang ganjil itu tidak kelihatan dalam filem. Bahagian itu kosong, seolah-olah filem pada bahagian itu tidak pernah dicetak untuk mengambil gambar.

Tiga tahun kemudian, salah seorang rakan Geoff membawa sebuah buku yang di dalamnya ada gambar pakaian polis Perancis era tahun 1905. Yang mengejutkan Geoff, pakaian polis dalam gambar itu benar-benar serupa dengan polis yang ditemuinya di hotel aneh itu.

Salah seorang wartawan mendapat tahu tentang kisah yang dialami Geoff dan Len lalu menemu bual mereka. Tidak lama kemudian, kisah ganjil dialami kedua-dua pasangan itu tidak hanya disiarkan dalam surat khabar, malah juga di televisyen.

Beberapa orang turut mengkaji negatif filem yang diambil Geoff. Mereka mendapati pada filem yang kosong itu, ada kesan di mana kamera cuba berfungsi untuk mengambil gambar tetapi lubang gegancu pada negatif filem itu mengalami kerosakan. Anehnya, kerosakan itu hanya pada negatif di bahagian tengah filem, yakni gambar di hotel tersebut sahaja. Sedangkan gambar sebelum dan selepas itu elok sahaja.

Tahun 1985, seorang pakar psikiatri, Albert Keller melakukan hipnosis ke atas Geoff untuk melihat sama ada dia benar-benar mengingati insiden itu. Di bawah pengaruh hipnosis, Geoff menceritakan satu persatu apa yang dilihat dan dialami semasa di hotel tersebut. Tidak ada satu pun yang berubah ceritanya.

Jenny Randles, seorang penulis warga British yang mengkaji fenomena aneh ini berpendapat, apa yang berlaku pada kedua-dua pasangan itu mungkin ada kaitan dengan ‘time slip’ iaitu satu keadaan di mana mereka telah dibawa kembali ke zaman silam.

Cuma yang menghairankan, mengapa pengurus hotel atau polis yang ditemui Geoff tidak terkejut melihat kehadiran mereka berempat, di mana pakaian dan kenderaan Geoff jauh lebih moden daripada zaman mereka.

Tiada siapa yang dapat mengesahkan. Jika dikaji, bandar Montelimar merupakan antara bandar tertua di Perancis. Bandar ini sudah dihuni sejak zaman era Celtic sebelum tahun Masihi mula digunakan.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik