Michael Anderson Sloan adalah bekas banduan. Dia pernah dipenjarakan pada tahun 1977 kerana merompak seorang wanita dengan bersenjatakan pisau.

Pada tahun 1980, Sloan ditahan lagi, kali ini atas tuduhan melakukan serangan seksual dan membunuh Mary Elizabeth Royem. Mayat gadis berusia 24 tahun itu ditemui di apartmennya, West Columbia, Amerika Syarikat dalam keadaan kepalanya luka parah dihentak dengan seterika besi.  

Perbicaraan ke atas Sloan bermula pada tahun 1981. Dia didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan berkenaan dan dijatuhi hukuman mati di atas kerusi elektrik.

Sloan membuat rayuan dan nasibnya baik apabila mahkamah membebaskannya daripada tuduhan serangan seksual. Hukuman ke atasnya dikurangkan kepada penjara seumur hidup.

Penjara telah menginsafkan Sloan. Dia menghabiskan masa dengan buku dan hasilnya, dalam tempoh enam tahun, dia berjaya memperolehi dua gulung ijazah Sarjana Muda. Atas kejayaannya itu, Sloan dianggap sebagai banduan contoh.

Sloan berharap dia akan diberikan parol dan dia mahu menggunakan peluang dan ilmu yang ada untuk bekerja dengan golongan belia.  

Tapi entah kebetulan entahkan karma, walaupun dapat mengelak daripada mati di kerusi elektrik, Sloan mati juga akibat elektrik.

Sel penjara Sloan kecil saja. Di situlah katil, di situlah tandas, televisyen dan semuanya.

Suatu hari, sambil duduk di mangkuk tandas yang diperbuat daripada logam, Sloan cuba membaiki fon telinga televisyennya. Dia memotong wayar fon telinga itu menggunakan mulut dan tiba-tiba… BBZZZZ!!!… dia disambar renjatan elektrik kerana fon telinga itu masih dipasang pada televisyen yang sedang terpasang.

Sloan mati dalam keadaan mulut dan lidahnya terbakar, sedang duduk di atas mangkuk tandas besi berkenaan.