Di daerah Larut dan Matang di Perak, terletak sebuah rumah agam berusia lebih satu setengah abad yang terletak bersebelahan selekoh tajam menuju ke Kuala Sepetang.

Pada rumah ini terkandung coretan sejarah. Rahsia yang menyelimuti rumah ini bukan kepalang, kerana ia berkait rapat dengan sejarah negeri Perak dan tamadun Tanah Melayu. Kisah yang kian dilupakan oleh generasi baru.

Ceritanya bermula tentang seorang lelaki bernama Che Long yang berasal dari daerah Lubuk Merbau. Che Long telah datang ke Klian Pauh bersama haiwan peliharaannya, seekor gajah bernama Larut. Dia dijemput oleh Sultan Perak untuk memerintah daerah Bukit Gantang.

Suatu ketika, Che Long yang berkulit sawo matang, berbadan tegap dan berambut paras bahu itu runsing apabila gajah kesayangannya, Larut sudah tiga hari hilang, Kehilangan Larut merencatkan tugasnya sebagai orang besar jajahan.

Orang-orang Che Long diarahkan mencari Larut di seluruh pelosok Bukit Gantang. Akhirnya, si Larut telah ditemui di Klian Pauh. Tubuhnya diselaputi lumpur. Tetapi, ia bukan lumpur biasa kerana dipenuhi dengan benda keras berkilat, iaitu bijih timah. Maka, di sinilah bermulanya era bijih di Tanah Melayu selepas Che Long Jaafar dan gajahnya, Larut menemui sumber galian itu.

Gajah bernama Larut yang menemui bijih timah tercatat dalam sejarah rumah agam ini.

Dipercayai disebabkan peristiwa itu, daerah ini dinamakan sebagai Larut, iaitu sempena nama gajah Che Long Jaafar.

Oleh kerana masyarakat Melayu kurang pengetahuan mengenai bijih timah, maka Che Long Jaafar pergi ke Pulau Pinang dan membawa pulang 20 orang Cina ke Larut untuk menjalankan kerja perlombongan.

Lombong yang dibuka oleh Che Long Jaafar di Klian Pauh berjaya menghasilkan bijih timah yang menguntungkan. Sejak itu, ramailah orang Cina datang ke Larut untuk bekerja sebagai pelombong. Sebelum tahun 1848, hanya terdapat tiga orang Cina sahaja di Larut dan jumlah ini terus bertambah dari semasa ke semasa.

Rumah agam Che Ngah Ibrahim yang kini dijadikan Muzium Sejarah Matang

Lalu bermula pula kisah tentang Che Ngah Ibrahim, yang merupakan pemilik rumah agam ini. Beliau mewarisi perusahaan lombong bijih daripada bapanya, Che Long Jaafar pada tahun 1857.

Kota ini menjadi pusat pentadbiran dan pertahanan daerah Larut, dan kediaman rasmi Che Ngah Ibrahim yang merupakan pemerintah daerah Larut ketika itu. Beliau adalah orang paling kaya di Larut dan mewarisi kuasa untuk memerintah daerah Larut dari bapanya, Che Long Jaafar.

Che Ngah adalah seorang jutawan. Duitnya bertimbun. Hartanya melimpah ruah. Dia orang paling kaya di Tanah Melayu ketika itu dan lebih kaya daripada sultan.

Di zaman kemuncaknya, Che Ngah mengadakan sistem pentadbiran moden di wilayah Larut dan mempunyai pasukan polisnya sendiri. Dia juga melantik seorang hakim untuk mengadili kes-kes tuntutan, seorang majistret dan juga bendahari untuk memungut cukai dan mentadbir kewangan wilayah.

Namun, ketika pemerintahan Che Ngah, telah berlaku beberapa ketegangan yang dicetuskan oleh imigran China yang semakin bertambah ketika itu. Dianggarkan, penduduk berbangsa Cina di Larut telah meningkat kepada 20,000 hingga ke 25,000 orang. Jumlah yang ramai itu telah mewujudkan beberapa pertubuhan kongsi gelap Cina.

Lalu, terbuka pula kisah tentang Perang Larut yang melibatkan puak Ghee Hin dan Hai San. Punca peperangan adalah perbalahan mengenai kawalan ke atas saliran sungai ke lombong bijih.

Untuk mengatasi masalah ini, Che Ngah Ibrahim telah menubuhkan pasukan polis yang dianggotai oleh 40 orang Melayu. Akan tetapi pasukan polis ini gagal mengawal kekacauan yang dicetuskan oleh orang Cina.

Ngah Ibrahim kemudian menubuhkan pasukan polis yang terdiri daripada 110 orang anggota Sikh yang diambil dari wilayah Patiala, Ludhiana dan Ferozepur di PunjabIndia yang lengkap bersenjata senapang dan pistol.

Namun peperangan melibatkan dua puak Cina ini masih terus berlaku. Kedua puak terus bertelagah termasuk punca akibat skandal melibatkan pemimpin puak Ghee Hin dengan wanita Hai San.

Ketegangan yang berlarutan di Larut telah mengundang campur tangan pihak British. Lalu, terbukalah kisah tentang ‘Perjanjian Pangkor’.

Birch adalah residen British yang pertama di Perak selepas  termeterainya Perjanjian Pangkor pada Januari 1874. Birch adalah manifestasi campur tangan Inggeris di Perak, yang didalangi kapitalis Eropah-China. Perjanjian Pangkor merupakan prelude kepada penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu.

Pada tahun 1876, rumah agam ini telah dijadikan tempat perbicaraan ke atas pahlawan-pahlawan dan pembesar-pembesar Perak yang telah berkomplot membunuh J.W.W. Birch. Ramai wira negeri Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum dan Pandak Endut.

Datuk Maharaja Lela telah digantung di pokok besar yang terletak berhadapan dengan rumah ini. Manakala Sultan Abdullah, Che Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin  pula disingkir ke Pulau Seychelles.

Selepas itu, kota dan rumah agam Che Ngah Ibrahim ini dirampas oleh pihak Inggeris. Pada tahun 1913 hingga 1922, rumah Ngah Ibrahim dijadikan Maktab Perguruan Matang. Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu Matang. 

Kemudian, bermula pula pendudukan Jepun.

Semasa Perang Dunia Kedua, rumah agam ini telah dirampas oleh tentera Jepun. Kerana lokasinya yang strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan, Jepun telah mengambil alih rumah ini sebagai pusat pemerintahan mereka di Perak.

Kesan runtuhan tembok akibat rempuhan pesawat Jepun.

Kesan peninggalan Jepun masih dapat dilihat sehingga kini. Runtuhan tembok kota di bahagian hadapan juga disebabkan rempuhan kapal terbang pasukan tentera Kamikaze itu.

Selepas Jepun menyerah kalah, rumah agam ini kembali berfungsi sebagai Sekolah Melayu Matang (1945-1984). Pada tahun 1985, kota ini kemudian diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia dan dijadikan Muzium Sejarah Matang.

Anak-anak kita hari ini tidak tahu, di sinilah pencetus kemajuan Perak. Di sini juga bermulanya kemegahan Tanah Melayu melalui perusahaan bijih timah. Begitu besarnya nilai sejarah yang melatari rumah ini. Sejarah yang terlalu berharga untuk anak bangsa kita pelajari.

Lebih 150 tahun yang lalu, Matang merupakan kawasan makmur orang Melayu dan kaya dengan bijih timah. Namun, ketamakan membawa bencana kepada semua. Selepas Perjanjian Pangkor, Melayu hilang segala-galanya.