Antara cinta, tragedi dan terowong misteri peninggalan lelaki bernama William Kellie Smith

0
37

Jika anda memandu ke selatan Ipoh menghala Batu Gajah, anda akan melalui ladang getah milik syarikat terkemuka, Kinta Kellas. Di tengah-tengah kehijauan alam semula jadi itu, tersergam sebuah mahligai separuh siap kepunyaan seorang peladang berbangsa Scotland bernama William Kellie Smith.

Itulah Istana Kellie, sebuah rumah agam yang meninggalkan pelbagai kisah dan kesan sejarah di Tanah Melayu. Ia terletak di kilometer 5.5 Jalan Simpang Pulau-Batu Gajah.

Cerita di sebaliknya bukan sekadar melambangkan kisah cinta agung, tetapi turut menggambarkan tentang kebudayaan, kegigihan serta hasrat seorang lelaki Eropah yang tidak kesampaian.

Kellie Castle, rumah agam yang melambangkan cinta lelaki bernama William Kellie Smith.

Rumah agam zaman kolonial ini masih diselubungi seribu satu kisah misteri. Di sebalik impian yang tidak kesampaian, sering diperkatakan mengenai kewujudan sebuah laluan rahsia bawah tanah yang menghubungkan rumah enam tingkat ini dengan sebuah kuil yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Kononnya, ia bukan sekadar terowong rahsia yang merentasi sebatang sungai, tetapi merupakan sebuah kompleks bawah tanah yang mempunyai bilik-bilik persembunyian serta tempat penyimpanan harta-harta kekayaan milik Kellie.

Berdasarkan dari cerita mulut ke mulut, masih terdapat sebahagian besar khazanah-khazanah orang kaya itu yang tertimbus di bawah bangunan tersebut. Ini termasuk beberapa buah kereta milik Kellie yang dikatakan masih kekal di dalam terowong berkenaan.

Kewujudan laluan rahsia berkenaan adalah sesuatu perkara yang sahih. Ia telah dibina oleh Kellie pada awal kurun ke-20, iaitu ketika peringkat awal pembinaan Istana Kellie. Tujuan utama laluan berkenaan diwujudkan ialah sebagai satu lokasi persembunyian strategik serta menjadi tempat penyimpanan harta-harta persendirian milik lelaki kulit putih itu.

Bagaimanapun, laluan masuk ke terowong berkenaan telah ditutup oleh pihak berkuasa tempatan atas faktor keselamatan. Ini kerana sebahagian besar struktur laluan berkenaan sudah runtuh akibat hakisan sungai Kinta yang mengalir di bahagian atasnya.

Dikatakan laluan itu bukan dibina merentasi sungai Kinta. Sebaliknya aliran sungai tersebut yang telah diubah ke bahagian belakang Istana Kellie selepas wujudnya aktiviti perlombongan bijih timah di kawasan berkenaan, seperti yang dapat dilihat sekarang. Sebelum itu, ia terletak di bahagian hadapan mahligai berkenaan.

Dikatakan laluan asal aliran sungai ini telah diubah.

Mengenai kompleks bawah tanah itu, dikatakan masih tersimpan sisa-sisa harta peninggalan Kellie yang masih tertimbus, termasuk beberapa buah kereta yang telah ditinggalkannya. Ia ada logiknya kerana selepas kematian Kellie, isterinya Agnes telah meninggalkan Tanah Melayu dan pulang ke kampung halaman mereka di Scotland.

Disebabkan kapasiti harta yang terlampau banyak, sebahagian besarnya tidak dapat dibawa pulang oleh Agnes, lalu ditinggalkan di bawah jagaan pemandu keluarga Kellie, seorang rakyat tempatan yang dikenali sebagai [email protected] Abu. Bagaimanapun, selepas kematian pemandu berkenaan, tiada siapa yang mengetahui status harta tersebut sama ada masih wujud ataupun tidak.

Terdapat juga dakwaan daripada beberapa orang saksi yang telah melihat sendiri laluan rahsia berkenaan. Antaranya ialah seorang lelaki Eropah yang pernah berkunjung ke rumah agam itu sekitar tahun 1960-an.

Lelaki tersebut telah menceritakan situasi sebenar di bahagian dalamnya yang mempunyai keluasan seperti gelanggang bola keranjang. Pada ketika itu, kereta milik Kellie masih lagi tersimpan rapi tanpa sebarang cela.

Ketika era pendudukan Jepun, rumah ini pernah menjadi markas tentera Jepun, Kesan peninggalannya masih dapat dilihat pada sebahagian rumah asal yang hampir ranap.

Pada ketika ini jugalah cerita berkaitan laluan rahsia ini terbongkar apabila seorang rakyat tempatan pernah melaluinya untuk mengelak daripada ditahan oleh tentera Jepun. Malah, ada juga pihak yang mendakwa runtuhan tanah turut berlaku di bahagian dalam terowong berkenaan apabila terkena tempias ledakan bom daripada pasukan Nipon itu.

Selain daripada kisah terowong bawah tanah, rumah ini turut melambangkan sebuah kisah cinta yang agung.

Jika diimbau kepada sejarah, Kellie membina istana impian ini atas dasar kecintaan yang mendalam terhadap isterinya, persis kisah Taj Mahal di India. Dalam masa yang sama, Kellie mempunyai ketaasuban yang tinggi terhadap budaya India dan agama Hindu. Sebab itu istana idamannya itu dibina mengikut reka bentuk istana Moghul yang terletak di bandar Agra, India.    

Kellie membina rumah agam ini mengikut reka bentuk istana Moghul.

Untuk memenuhi impiannya itu, Kellie telah menggunakan khidmat pekerja buruh dari Madras berserta bahan-bahan binaan seperti batu-bata dan seramik yang diimport dari India. Semua ini dilakukan untuk mengekalkan ciri-ciri seni bina India yang asli.

Bagaimanapun, semasa pembinaannya, wabak penyakit Spanish Flu telah merebak sehingga menyebabkan ramai pekerja pembinaan meninggal dunia. Disebabkan itu, sebuah kuil dibina sebagai kepercayaan untuk menghindari penyakit berkenaan.

Sehinggalah pada tahun 1926, kerja-kerja pembinaan rumah ini telah dihentikan selepas kematian Kellie. Beliau meninggal dunia di Lisbon, Portugal akibat penyakit radang paru-paru.

Rumah ini dirangka dengan kelengkapan yang sempurna. Selain mempunyai 14 buah bilik, ia turut dilengkapi dengan sistem lif yang menghubungkan sayap kanan rumah berkenaan sehingga ke tingkat yang paling tinggi. Di tingkat dua, Kellie merancang untuk membina gelanggang tenis, manakala di tingkat yang paling atas pula ialah tempat untuk bersantai.

Tapi sayang, selama 11 tahun kerja-kerja pembinaan dilakukan, hanya kira-kira 70 peratus daripada pelan asal yang berjaya disiapkan. Keadaan itu terus kekal sehingga kini.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik