Menerusi usaha dakwah yang berterusan sejak tiga tahun lalu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah telah berjaya membawa 80,000 orang bukan Islam memeluk Islam. Semuanya berpandukan kepada firman Allah surah Ali Imran: 19,

“Bahawa agama di sisi Allah ialah agama Islam”.

Tekad dan usaha gigih itu disertai juga dengan doa yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t.  Setiap kali musim haji, beratus-ratus orang jemaah haji Sabah yang dipimpin oleh Tun Datu Mustapha serta Tan Sri Mohd Fuad Stephens, Yang Dipertua Negeri Sabah, berdoa ketika wukuf di Padang Arafah dan Masjidil Haram memohon agar Allah s.w.t. membukakan pintu hati rakyat yang belum beragama Islam supaya memeluk agama Islam.

“Seperti biasa tiap-tiap tahun kami mengadakan majlis membaca wirid dan doa khas selama wukuf di Padang Arafah agar Allah membukakan pintu hati mereka yang belum beragama Islam, agar memeluk Islam. Doa dan wirid khas telah disusun dan dicetak oleh Majlis Ugama Islam Sabah. Doa tersebut juga turut memohon agar negara Malaysia kekal abadi, aman dan makmur serta bertambah lagi keteguhan dan perpaduan rakyatnya, khususnya umat Islam” begitu kata Tun Datu Mustapha kepada al-Islam.

Perkembangan Islam di Sabah adalah hasil usaha berterusan Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun Ketua Menteri Sabah

Sememangnya agak sukar, jika tidak pun mustahil untuk menarik para cerdik pandai, pegawa-pegawai tinggi kerajaan, saudagar-saudagar dan orang ramai umumnya untuk memeluk Islam ketika dakwah Islam mula digerakkan. Namun berkat dari pimpinan yang tegas dan bijaksana Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha serta dokongan dari para pendakwah Islam, akhirnya misi sukar ini dapat juga terlaksana.

Ketika ini jumlah pendakwah Islam di Sabah hanyalah seramai 124 orang sahaja di samping 500 guru-guru agama yang bertugas mengajar di sekolah-sekolah.  Namun berkat dari pengislaman beberapa orang pemimpin seperti Yang Dipertua Sabah, Tan Sri Mohd Fuad Stephens pada 5 Januari 1971 serta Menteri Kerja Raya dan Tenaga Persekutuan Datuk Abdul Ghani Gilong dan keluarga, maka ramai lagilah pemimpin-pemimpin parti dan Kerajaan, pegawai-pegawai tinggi Kerajaan, saudagar-saudagar, wartawan dan lain-lain golongan masyarakat disamping ribuan orang rakyat dari segala suku bangsa mula menerima dan memeluk Islam.

Upacara memeluk agama Islam beramai-ramai, 100, 200 atau 300 orang boleh dikatakan berlaku setiap hari di beberapa daerah di negeri itu. Upacara pengislaman yang lebih ramai pula antara 2,000 hingga 3,000 orang telah diadakan di beberapa buah daerah seperti di Keningau, Tambunan, Ranau, Kudat, Kota Marudu dan banyak lagi.

Oleh kerana ketiadaan masjid-masjid yang besar, biasanya upacara itu diadakan di khemah-khemah yang didirikan di padang-padang. Berpuluh-puluh orang pendakwah, dan guru-guru agama melakukan upacara itu dengan mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadah serta pengertiannya.

Sebahagian dari 3000 penduduk daerah Tambunan di Sabah yang telah memeluk agama Islam

Kejayaan yang begitu mulia di sisi Allah dan sangat besar ertinya kepada hasrat dan cita-cita kebangsaan negeri ini ialah kerana perpaduan kukuh umat Islam di Sabah yang bersatu di bawah pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) atau United Sabah Islamic Association, yang telah ditubuhkan dalam satu kongres Muslimin di Kota Kinabalu pada 14 Ogos 1969.

Sebelumnya, masyarakat Islam di Sabah tidak dapat berkembang dengan luasnya sebagaimana di Semenanjung Malaysia akibat dari tekanan dan dasar penjajahan dahulu. Malah persatuan-persatuan Islam di Sabah hanya dapat bergerak pada sekitar sekeliling masyarakat masing-masing sahaja, sedangkan penduduk di negeri Sabah 38 peratus adalah beragama Islam dan merupakan yang terbesar sekali jika dibandingkan dengan agama lain.

Setelah perlembagaan USIA diluluskan, maka tertubuhlah sebanyak 16 buah bahagian USIA dengan beratus-ratus buah cawangan di seluruh ceruk rantau dan daerah. Bagi melicinkan lagi usaha untuk mencapai matlamat tujuan dasar USIA, beberapa buah badan telah ditubuhkan dengan ahli-ahli jawatankuasanya di semua peringkat. Di antaranya termasuklah Badan Tabligh, Badan Penerangan, Pelajaran, Penyelarasan, dan lain-lain lagi.

Selain bakti USIA yang membawa kepada sejumlah 80 ribu orang bukan Islam memeluk Islam dalam tempoh tiga tahun. Tidak dinafikan atas usaha dan perjuangan USIA juga tertubuhnya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Fungsi MUIS adalah mentadbirkan hal ehwal agama dan masyarakat Islam serta hal-hal yang bersabit dengan hukum-hakam Islam. Pentadbirannya diketuai oleh seorang Yang Dipertua, Setiausaha, Mufti Negeri, pegawai-pegawai tadbir, Kadi, Pegawai Pelajaran Ugama, Pegawai Zakat dan lain-lain. MUIS juga telah mendirikan sebuah pusat latihan untuk melatih kadi-kadi, imam-imam, guru-guru ugama, para pendakwah dan sebagainya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 25 September 1973 yang lalu telah meluluskan dan menerima sebagaimana di dalam Perlembagaan Malaysia bahawa agama rasmi Negeri Sabah ialah agama Islam.   

Nota: Artikel asal oleh Johari Alias dengan sedikit olahan. Bil. 1 : Januari 1974